Perihal Teater dan Malam Teater Econs – ECTN 2017

Oleh Amru Khalid

Tulisan ini bertujuan memperihal serba sedikit peranan teater dalam masyarakat serta pengamalannya, lalu memberi sedikit ulasan terhadap teater Econs Theatre Night 2017 (ECTN) tempohari. Kemudian, beberapa cadangan diberikan tentang penginstitusiannya dalam badan pelajar – khususnya Bachelor of Economics Council (BECS).

Pada bulan Oktober yang lepas, telah berlangsung acara tahunan EMSS iaitu Economics Festival (E-Fest) 2017. Tahun ini merupakan tahun kedua dianjurkan malam teater Econs (Econs Theatre Night – ECTN) di dalam acara E-Fest ini. Mudahnya, matlamat penganjuran ini ialah untuk mengetengahkan wadah teater sebagai penyampai mesej ekonomi kepada masyarakat secara umum, tidak terhad kepada pelajar ekonomi semata-mata.

Teater, dari segi etimologinya dari Yunani, bermaksud suatu tempat untuk menonton atau melihat (“a place for viewing”). Kemudian, Barat telah menggunapakai istilah tersebut sebagai suatu acara persembahan kesenian secara langsung di hadapan penonton dalam bentuk atau versi yang pelbagai, seperti lakonan, puisi, berlagu, jenaka (comedy), opera, ballet, eksperimental dan sebagainya. Perbincangan teater sebagai lambang pempameran serta luahan diri manusia dan masyarakat boleh dilihat sejak dari Plato dan Aristotle sendiri dalam tulisan-tulisan mereka.

Namun menarik untuk diteliti semula tentang keberkesanan wadah teater dalam masyarakat hari ini. Sudah tentu boleh dipersoalkan semula keberkesanannya apabila wujud pilihan ganti seperti filem, pawagam, video dan wadah penyampai mesej lain yang lebih mudah dicapai berbanding teater yang tradisional. Akan tetapi, wadah ini dilihat masih mahu digenggam dan diteruskan pengamalannya oleh sesetengah pihak dek kerana kekuatannya dalam pelbagai segi yang lain –yang tidak akan dibincangkan di sini.

Sesetengah orang cuma memandang teater sebagai tempat mereka melampiaskan bakat atau kemahuan seni mereka –sama ada sebagai pelakon, penulis skrip, tatarias, seni pementasan (stagecraft), dan sebagainya– sahaja. Sesetengah orang yang lain pula memandang teater sebagai sesuatu yang serius iaitu seperti pembawa ideologi, membuat kenyataan politik (political statements), dan pemangkin perubahan masyarakat. Semua ini dilakukan dengan pelbagai caragaya yang berbeza seperti melalui satira, komedi, bersahaja, berterus terang (explicit), majazi (metaphorical), kesejarahan (historical), tragedi, dan sebagainya.

KEMBARA ZAMAN DAN KEMELUT

Dalam teater pertama ECTN tempohari, saya lebih gemar akan teater Kembara Zaman, bukan disebabkan lebih lucu atau perkara-perkara zahir yang menyeronokkan. Tetapi kerana seni dialog daripada skrip yang lebih berhati-hati, seolah-olah sengaja membawa erti yang lebih dalam dari apa yang kita faham secara permukaan kata. Sepertinya ketika mereka mempersoal mengapa pemakaian orang di zaman lampau itu tidak menyerupai apa yang selalu digambarkan oleh orang moden kini, iaitu terdedah sana sini sedangkan dalam teater tersebut orang lampau semuanya menutup badan dengan pakaian yang cukup. Lalu dijawabnya bahawa ahli nujum yang menulis semua itu, lalu memberi erti bahawa sesungguhnya sesiapa yang mampu menulis sejarah, naratif itulah yang akan kekal sebagai kepercayaan umum pada waktu hadapan.

Banyak lagi contoh serupa yang boleh dibawa seperti kebijaksanaan (wisdom) orang lampau yang lebih kenal diri dan menjaga keteraturan hidup, tidur jaga, dan makanan mereka. Ini digambarkan cuma dengan nasihat menjaga tidur, serta ayam yang liat dibawa dari zaman sekarang. Selain itu, persoalan sebenar yang mengganggu asas binaan teori ekonomi juga disentuh menggunakan dialog yang ringkas dan perbualan sehari-hari. Sebagai contoh, persoalan ketidakcukupan (scarcity) yang melingkari teori ekonomi hari ini diselesaikan dengan menyebut ketamakan itu tidak diingini secara fitrah, maka sumber akan cukup untuk seluruh keperluan manusia. Konsep pengiklanan yang melampau juga disentuh secara halus, di mana peniaga hari ini cenderung menipu dan menggalakkan orang membeli barangan mereka walaupun diketahui memudaratkan, demi mengaut untung.

Ini ditambah pula dengan beberapa selitan penjelasan teknikal tentang pembelajaran ekonomi hari ini melalui contoh yang mudah, walaupun saya tidak rasa ianya begitu perlu. Satu cadangan yang saya fikir baik untuk ditambah penekanannya untuk teater seperti ini ialah bahawa perlu ada suatu tema utama (central theme) atau pengarahan ideologi yang khusus supaya penonton pulang dengan mempercayai suatu ideologi yang kita jelmakan kepada mereka.

Sepertinya dalam Kemelut pula, dari gambaran keseluruhan penceritaan, apa yang saya garap dari mesej utama ialah penjunjungan para pembuat dasar (policy makers) yang telah menyelamatkan negara pada ketika kemelut Asia 1997. Sesuatu  yang saya rasa agak baik untuk diketengahkan, bahawa mungkin selama ini masyarakat lebih menumpukan rasa berterima kasih kepada tokoh yang terlihat seperti Perdana Menteri sahaja yang telah menyelamatkan negara, walhal di belakangnya para pembuat dasar yang kurang dihargai.

Walaubagaimanapun, komentar saya untuk Kemelut ialah kekurangannya untuk memperkenalkan latar yang jelas untuk difahami kepada semua peringkat penonton sebelum dimasukkan metafor yang menarik melalui dialog antara En. Ringgit, Pn. Yen, Pn. Rupiah, En. Baht, dll. George Soros yang menjadi tumpuan utama plot yang menggabung kesemua jalan cerita juga telah dianggap penonton sudah kenal, sedangkan ramai yang terpinga-pinga. Sebaiknya disebut dahulu siapakah Soros yang bakal merosakkan dan mendatangkan bencana kepada nasib matawang-matawang tersebut, paling tidak ada pengenalan ringkas yang jelas.

Tambahan lagi, pelajar bukan ekonomi kebiasaannya tidak tahu apakah itu IMF serta kerosakan dan kegagalannya, bahkan GDP pun mereka jarang sekali ada yang tahu! Maka dalam kesempatan seperti inilah dapat didatangkan konsep ini kepada mereka yang hanya memerlukan beberapa baris dialog sahaja sebagai perkenalan kepada konsep asas ekonomi yang lebih penting, berbanding menerangkan konsep permintaan dan penawaran (demand and supply), disebabkan faham GDP dan institusi seperti IMF ini lebih langsung kesannya kepada cara fikirnya tentang ekonomi terhadap hidupnya.

Apapun secara keseluruhannya, dua tahun penganjuran ECTN adalah suatu inisiatif yang baik serta perlu disebarluaskan lagi pengamalannya. Akan tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki dari sudut pembawakannya serta perlu ditekankan bahawa seharusnya wadah ini dijadikan suatu medan pemangkin perubahan cara fikir masyarakat sepertimana Charlie Chaplin dipentaskan untuk membuat kenyataan politik yang jelas pengarahan ideologinya (ideological indication) untuk mengkritik dan mempersendakan keadaan politik dan sosial semasa yang yang difikirkan terlalu mengarut!

BECS DAN ECTN

Penganjuran ECTN ini sebahagian besarnya adalah daripada tenaga kerja ahli BECS. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan, hampir separuh kerahan tenaga oleh ahli BECS sepanjang dua semester adalah untuk menjayakan teater ini. Di satu sudut, sudah tentu boleh dipuji segala daya dan tenaga yang dicurah demi mengangkat tema ekonomi dan mesej tertentu yang mampu merangkumkan penglibatan yang lebih meluas dari pelajar dan bukan pelajar tidak kira dari Kulliyyah ekonomi atau bukan.

Di satu sudut yang lain pula, keadaan ini seakan-akan merugikan suatu entiti seperti BECS yang mampu menjangkau lebih banyak dan luas kebolehan yang boleh dilakukan, tetapi telah dihadkan untuk menumpu usaha dan tenaga untuk salah satu pintu sahaja, walaupun pintu teater ini ialah satu pintu yang dikira sangat berkesan. BECS ialah majlis badan pelajar yang diwujudkan untuk mengendalikan hal ehwal yang berkaitan dengan pelajar yang mengambil jurusan Ekonomi. Oleh itu, jangkauan kebolehlakuannya (potentiality) meliputi pelbagai aspek aktiviti, seperti hal ehwal akademik, pelajaran dan pembelajaran, intelektual, rohani dan agama, seni, ko-kurikulum, kebajikan dan lain-lain.

Disebabkan hal itu, inisiatif seperti ECTN ini memerlukan suatu tenaga dan upaya yang sangat tinggi, namun saya kira perlu untuk dinilai kembali susunan strukturnya. Dan perlu diketengahkan juga, bahawa usaha seperti ini tidak semestinya dikendalikan oleh pelajar ekonomi semata-mata. Bahkan boleh jadi kendalian pihak lain mungkin lebih baik untuk menjadikan nyata matlamat ECTN dalam mengangkat tema ekonomi yang sepatutnya difahami oleh segenap lapisan masyarakat.

Cadangan saya ialah ECTN harus diinstitusikan secara berasingan daripada BECS, disebabkan kelihatannya kemandiriannya diyakini teguh setelah dua tahun berjalan dengan baik, malah andai keterlibatannya lebih banyak dari pelajar bukan ekonomi telah lebih menandakan kejayaan matlamat itu sendiri kerana orang ramai telah mulai sedar untuk mengangkat tema yang lebih serius seperti ekonomi dalam pementasan teater. Ini juga dapat memberi ruang yang lebih luas kepada tenaga dan upaya ahli BECS untuk memberi tumpuan kepada aspek lain yang lebih tinggi keutamaannya.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: