Peranan Universiti Pada Waktu Krisis

Oleh: Noam Chomsky (1969)

Ditulis pada 150 tahun yang lalu, seorang liberalis dan reformis unggul, Wilhelm Humboldt mendefinisikan universiti sebagai “tidak lebih daripada kehidupan spiritual manusia yang digerakkan oleh keinginannya untuk mengisi masa lapangnya atau tekanan dari dalam dirinya [disebabkan faktor-faktor seperti wujudnya perasaan bertanggungjawab menuntut ilmu dsb] untuk belajar dan mengkaji.” Pada setiap fasa kehidupan, manusia yang bebas akan terdorong sedikit sebanyak oleh “tekanan dalaman” ini. Suasana persekitaran yang didiami seseorang pula mampu sedikit sebanyak menyediakan dirinya dengan “kelapangan yang bersifat luaran” dan bentuk-bentuk institusi bertujuan untuk merealisasikan keinginan dirinya untuk membuat penemuan baru, mencipta sesuatu, meneroka, menghitung, melahirkan kefahaman, menghalusi dan melatih bakat sedia ada, berfikir, membuat sumbangan individu terhadap budaya kontemporari, menganalisis, mengkritik dan merubah budaya serta struktur sosial yang telah berakar lama. Andai universiti tidak wujud secara formal sekalipun, Humboldt memerhatikan bahawa, “seseorang secara peribadinya akan merenung dan berkumpul, bersama-sama dengan manusia dalam lingkungan umur yang sama, dan kemudiannya mencari sekumpulan pengikut. Begitulah gambaran sebuah universiti yang harus dipegang dengan kukuh oleh sesebuah negara, andai ianya berhajat untuk mempunyai bentuk institusi formal daripada proses yang tidak disengajakan ini [ proses pembentukan sebuah universiti – pent.]

[Universiti Sebagai Pengukur Tahap Ketamadunan]

Sejauh mana bentuk-bentuk institusi sedia ada membenarkan kehendak manusia untuk direalisasikan akan menyediakan suatu kayu ukur tahap ketamadunan yang telah dicapai oleh sesebuah masharakat. Salah satu elemen penting dalam perjuangan yang tiada henti ini adalah usaha untuk membuang halangan-halangan [untuk mengecapi keinginan tadi] – sama ada dari segi ekonomi, ideologi atau politik- yang menyekat individu-individu dalam masharakat daripada mencapai keinginan dan harapan-harapan mereka serta mencegah daripada berlakunya aktiviti kemasharakatan, yang seharusnya dijamin kewujudannya oleh universiti.

students-protest-vietnam-warKita harus berikan pujian kepada gerakan mahasiswa pada tahun 1960-an yang telah membantu memusnahkan sikap senang berpuas hati kelompok intelektual Amerika, mengenai hal-hal berkaitan masharakat Amerika dan peranan universiti di dalamnya. Kerisauan terbaru kita mengenai usaha pembaharuan universiti ini adalah sebahagian besarnya merupakan kesan daripada aktivisme mahasiswa. Banyak tenaga telah dikerah dalam usaha-usaha menyelesaikan masalah “penstrukturan semula universiti”: pendemokrasiannya, mengagihkan semula taburan kuasa di dalamnya, pengurangan tekanan terhadap kebebasan mahasiswa juga ketidakbergantungan universiti terhadap institusi luar. Saya mengesyaki  bahawa hanya sedikit yang boleh kita capai daripada perjuangan semacam ini. Perubahan formal dalam struktur universiti akan mempunyai kesan yang sedikit terhadap apa yang mahasiswa buat terhadap hidupnya, atau perhubungannya dengan universiti dan masharakat. Selagi mana usaha pembaharuan ini tidak mencapai ke dalam ‘isi hati’ universiti – kandungan kurikulumnya, interaksi di antara pelajar dan guru, sifat kajian, dan dalam sesetengah bidang, praktis yang berkait dengan teori – ianya akan kekal menjadi suatu perkara yang hanya diambil ringan. Adalah sesuatu yang masih boleh diragukan; apakah hal-hal ini sebenarnya turut terkesan dengan beberapa usaha pembaharuan struktur universiti yang sekarang ini aktif diperdebatkan di kampus-kampus.

Tidak ada gunanya untuk kita membincangkan “peranan universiti” dalam bentuk abstrak daripada rentetan peristiwa sejarah yang konkrit, kerana ianya akan mensia-siakan tenaga untuk mengkaji mana-mana institusi sosial dengan cara ini. Hal ini kerana, dalam suasana masharakat yang berbeza, akan timbul persoalan-persoalan yang berbeza terhadap peranan universiti dan permasalahan-permasalahan yang dihadapinya. Bagi sesiapa yang percaya, sepertimana saya, masharakat kita harus mengalami perubahan yang drastik jika kita inginkan tamadun yang lebih maju, – malahan, untuk terus bertahan – ‘pembaharuan universiti [yang kita inginkan ini]’ akan terlihat sebagai perkara yang tidak signifikan melainkan ianya memberi sumbangan kepada perubahan sosial. Penambahbaikan universiti boleh berlaku dalam kerangka dan bentuk institusi yang sedia ada, serta penelitian terhadap bentuk institusi ini akan menyumbang sedikit kepada penambahbaikannya.

    Ianya bukan suatu perkara yang mudah untuk menentukan sejauh mana kekurangan sesebuah institusi boleh diatasi melalui reformasi dalaman dan sejauh mana perubahan itu mencerminkan ciri-ciri masharakat kebanyakan atau psikologi individu-individu yang secara relatifnya tidak bergantung dengan bentuk-bentuk sosial.

[Universiti sebagai tempat perkongsian penemuan-penemuan baru dan tempat pemupukan semangat saling tolong-menolong]

Kita boleh mengambil contoh sikap berdaya saing yang berkembang biak bukan sahaja di universiti, malahan dalam sistem persekolahan secara keseluruhannya [untuk tujuan pendahuluan kepada perbincangan kita di sini]. Sukar untuk kita yakini bahawa sikap berdaya saing yang dipupuk ini mempunyai sebarang tujuan pendidikan. Semestinya, sikap ini tidak menyediakan para pelajar untuk menjadi seorang cendekiawan atau saintis yang sebenar. Adalah perkara yang tidak munasabah untuk seorang saintis professional merahsiakan penemuan-penemuannya daripada rakan sekerjanya supaya mereka tidak tahu akan pencapaian peribadinya, sekaligus penemuan itu tidak dapat membantu rakan sekerja tadi dalam menjalankan kajian mereka pula. Akan tetapi, hal sebegini lah yang selalu diajarkan kepada para pelajar di dalam kelas! Di kemudian hari, usaha kolektif yang bercirikan perkongsian penemuan baru dan saling membantu inilah budaya intelektual yang seharusnya wujud; andai nanti ianya masih bukan budaya kita, kita boleh tafsirkan kekurangan ini sebagai kesilapan yang dilakukan oleh mereka yang obses dengan pencapaian peribadi – yang sebenarnya tidak layak pun menjadi cendekiawan mahupun pengajar. Namun, apa yang kita hadapi kini, pada tahap pendidikan yang tertinggi, peraturan-peraturan yang dicipta oleh universiti selalunya tidak menggalakkan mahasiswa bekerja seperti mana seorang manusia yang beraqal akan lakukan: sama ada secara individu, menurut minatnya yang tersendiri; ataupun bekerja secara berkumpulan; di mana dia boleh belajar daripada dan memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakannya. Projek-projek kursus dan peperiksaan adalah bersifat individualistik dan menggalakkan budaya saling berdaya saing. Disertasi kedoktoran bukan sahaja sepenuhnya sumbangan individu, kita boleh persoalkan hal ini, tetapi juga perlu dihabiskan dalam suatu jangka waktu atau had masa yang ditetapkan (yang selalunya tidak signifikan terhadap pengkajian mendalam pada satu-satu bidang). Pelajar juga dipaksa untuk mempunyai matlamat dan objektif yang ringkas dan terhad, bagi mengelakkan sebarang pengembaraan ke daerah-daerah baru disiplin yang dikajinya, ataupun disekat daripada penyiasatan yang bersifat spekulatif yang berkemungkinan mencabar kerangka berfikir arus perdana yang mungkin mampu mencabar hujahan-hujahan tokoh terdahulu sebelumnya, atas alasan semua ini mempunyai risiko yang tinggi untuk gagal. Dalam hal ini, bentuk institusi universiti seperti ini hanya menggalakkan para pelajarnya untuk menjadi biasa-biasa sahaja atau tiada apa yang istimewa pada mereka.

    Mungkin sebenarnya limitasi ini antara penyebab mengapa hari ini, adalah biasa untuk kita temukan seorang cendekiawan yang meluangkan seluruh kerjaya akademiknya demi menambahkan secebis sumbangan (yang sebenarnya terlalu sedikit dan tidaklah terlalu signifikan) terhadap apa yang dilakukan sebelumnya oleh para pendahulu dalam bidang tersebut. Apa yang mungkin telah mengehadkan imaginasinya dan telah mengganggu gugat pandangannya terhadap sesuatu adalah cara berfikir tatkala memulakan kerjanya sebelum itu, serta kelemahannya menguasai konsep-konsep penting dalam penyelidikan disebabkan oleh bentuk institusi yang terlalu ‘rigid’. Orang-orang yang mampu melepaskan diri daripada limitasi ini [para ahli falsafah, pemikir, dsb. – pent.] kebanyakannya disebabkan oleh kemampuan dirinya sebagai manusia yang mampu menentang tekanan-tekanan yang cenderung mengehadkan kepelbagaian dan kreativiti dalam kehidupan dan pemikiran. Hal ini yang seringkali terlihat pada tahap paling tinggi pendidikan kesarjanaan, sebenarnya boleh kita temukan pada peringkat pengajian yang lebih rendah, sepertimana yang telah ditunjukkan oleh sebahagian pengkritik. Namun, sejauh mana masalah ini sebenarnya merupakan kesalahan yang berlaku pada pihak universiti dan sejauh mana ianya sebenarnya adalah disebabkan tugas yang terbeban kepada para pelajar untuk mengejar kepentingan diri sendiri yang diangkat sebagai matlamat yang paling utama di dalam sebuah masharakat yang amat berdaya saing.

competition-starts-early-002

Sebahagian daripada bentuk-bentuk tekanan yang telah mengganggu pengalaman pembelajaran dan merosakkan hubungan antara pelajar dan guru adalah disebabkan oleh permintaan yang wujud terhadap sekolah atau institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, masalah sosiologi yang digariskan oleh Daniel Bell: “Pengajian tinggi telah dipikulkan dengan bebanan untuk menjadi semacam suatu ‘penjaga pintu gerbang’ – mungkin satu-satunya penjaga pintu yang ada – yang bertanggungjawab menjaga sebuah pintu [yang boleh digunakan pelajar] untuk mendapat tempat yang istimewa di dalam masharakat; … ini bermakna sistem pendidikan bukan lagi bermatlamat mengajar para penuntut tetapi mengadili mereka.2 Jenks dan Riesman juga memberikan pandangan yang sama: “Kolej adalah tempat untuk melakukan ujian yang berpanjangan untuk mengukur sebahagian aspek kecerdasan dan karakter seseorang.” Hasilnya: “Kebergantungan masharakat kepada kolej untuk memilih anak-anak golongan atasan, serta menyisihkan kebanyakan anak muda yang dilahirkan dalam keluarga yang tergolong dalam strata rendah masharakat, kerana mereka ini dikatakan ‘ tidak mempunyai sikap yang diperlukan’ untuk memperoleh kejayaan akademik’3. Kesannya, universiti hanyalah berfungsi sebagai alat untuk memastikan pengekalan hak keistimewaan sosial golongan tertentu dalam masharakat.

[Keterbukaan universiti terhadap sesiapa pun, tidak mengira peringkat usia]

    Untuk mencapai Humboldtian yang ideal, universiti seharusnya dibuka kepada semua orang, tidak mengira peringkat usia dan warna kulit, terutamanya kepada mereka yang berimpian meningkatkan mutu kehidupan spiritual mereka melalui institusi universiti. Terdapat banyak program universiti yang sengaja disusun untuk membawa masuk kumpulan eksekutif korporat dan jurutera dari industri ke dalam universiti bertujuan memberikan latihan istimewa kepada para pelajar, disamping memperluas latar belakang budaya mereka, namun tidak terdapat walau satu kali pun, pada pengetahuan saya, pembuat kasut atau pekerja-pekerja industri dibawa masuk ke universiti, yang sebenarnya boleh kita dapatkan kebaikan daripada kehadiran mereka [suatu gambaran sikap ‘bias’ dalam universiti terhadap golongan tertentu – pent]. Namun, tidak wajar untuk kita nisbahkan ketidaksamaan ini sebagai kesalahan bagi pihak universiti sahaja.

    Secara amnya, keperluan universiti untuk memberikan perhatian terhadap sijil-sijil kelayakan, pendidikan dan kajian, pada saya, tidaklah mempunyai fungsi akademik yang seharusnya. Sebaliknya, keperluan ini seringkali mengganggu-gugat peranan sebenar universiti. Ianya tidak lebih daripada permintaan oleh masyarakat untuk memastikan hak keistimewaan dan elitisme dikekalkan menggunakan apa cara sekalipun.

    Ayuh kita bincangkan suara mereka yang selalunya meminta universiti untuk memenuhi keperluan masyarakat – dengan menyarankan agar aktiviti-aktiviti universiti harus “relevan” dengan kebimbangan masharakat am.  Secara umumnya, permintaan ini adalah suatu permintaan yang wajar. Namun, apabila kita terjemahkan permintaan ini kepada praktis, ianya secara umum bermaksud universiti harus menyediakan perkhidmatan kepada institusi-institusi sosial yang wujud untuk memenuhi keperluan mereka dengan usaha-usaha yang universiti lakukan. Bukanlah sesuatu yang sukar untuk komuniti universiti merasakan dan mempercayai bahawa mereka kekal “neutral” tatkala mereka hanya memenuhi permintaan yang datang dari luar universiti [sekaligus mengelakkan mereka daripada berasa bertanggungjawab keatas kesan-kesan yang terhasil daripada permintaan-permintaan ini]. Sebenarnya, dengan berbuat sedemikian, Universiti sebenarnya sedang membuat suatu keputusan politik, yakni dengan mengesahkan kuasa, autoriti dan keistimewaan golongan tertentu yang sedia wujud dalam sesebuah masharakat, serta memberikan komitmen untuk mengukuhkannya. Pentagon dan syarikat-syarikat besar boleh merancang keperluan mereka dan memberikan kerja kepada universiti untuk memenuhi keperluan-keperluan tersebut. Jelasnya, petani-petani di Guatemala ataupun penganggur-penganggur di Harlem tidak mempunyai kuasa sepertimana Pentagon dan syarikat-syarikat besar.  Masharakat yang merdeka seharusnya menggalakkan pembangunan universiti yang mampu melepaskan dirinya daripada menuruti tuntutan untuk kekal “relevan” dalam hal ini. Universiti seharusnya dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat awam hanya jika sumbangan tersebut menjangkaui keinginan orang ramai agar universiti menjadi pak turut kepada ideologi yang dominan pada ketika itu serta menentang corak autoriti [kuasa] dan keistimewaan yang sedia wujud.

[Universiti sebagai pusat ransangan intelektual: cabaran bersifat (“subversif”) kepada ideologi ortodoks]

Sejajar dengan hubungan universiti dengan masharakat, universiti yang bebas adalah dijangkakan, pada hal-hal tertentu, untuk bersifat “subversif”. Kita mengambil ringan bahawa kerja yang kreatif dalam apa jua lapangan sebenarnya boleh mencabar aliran ideologi ortodoks yang sedia ada. Seorang ahli fizik yang menambah baik eksperimen yang telah dilakukan sebelumnya, seorang jurutera yang meningkatkan mutu alat teknologi sedia ada, atau seorang artis yang mengehadkan dirinya dengan teknik dan cara yang telah diterokai sepenuhnya boleh kita klasifikasikan sebagai mereka yang mempunyai daya imaginasi kreatif yang lemah. Kerja-kerja yang mengujakan dalam bidang sains, teknologi, pendidikan dan seni akan menolak batasan kefahaman manusia ke luar [untuk mencapai kefahaman-kefahaman baru] serta mampu melahirkan alternatif  yang pelbagai kepada andaian-andaian konvensional sedia ada. Jika sesuatu bidang itu tidak lagi wujud ciri-ciri seperti yang di atas, maka bidang tersebut tidak lagi akan diterokai oleh mereka yang gemarkan cabaran intelektual. Pemerhatian ini adalah suatu pemerhatian klise yang tidak ramai orang akan persoalkan – kecuali mereka yang mengkaji tentang manusia dan masyarakat. [Pada pandangan orang kebanyakan], pengkritik-pengkritik sosial yang cuba membentuk visi mengenai susunan sosial masharakat yang lebih adil dan baik, serta amat khuatir terhadap kekurangannya – selalunya  pada jurang yang memisahkan visinya ini daripada realiti yang tampak pada pemerhatiannya – adalah dianggap sebagai makhluk yang menakutkan, yang perlu “mengatasi  keterasingan dirinya” dan menjadi “bertanggungjawab”, “realistik” serta “pragmatik”. Untuk menterjemah kata-kata orang kebanyakan ini, sang pengkritik sosial haruslah berhenti mempersoalkan nilai-nilai kemasharakatan sedia ada dan mengancam keistimewaan-keistimewaan mereka. Dia mungkin boleh fikirkan pembaharuan-pembaharuan teknikal dalam masharakat yang mampu meningkatkan kecekapan serta merawat ketidaksamaan di dalamnya, akan tetapi dia mestilah tidak cuba untuk mereka suatu alternatif yang radikal mahupun melibatkan dirinya di dalam percubaan untuk melakukan perubahan sosial. Dia mestilah mengabaikan jalan kreatif dan sifat ingin tahu dirinya. Adalah sangat perlu ditekankan bahawa prejudis semacam ini adalah lebih jelas berlaku di dalam kerangka institusi masharakat sosialis.

Minda yang bebas memang berkemungkinan untuk membuat kesalahan. Oleh itu, pengkritik-pengkritik sosial ini tidaklah mempunyai imunisasi yang lebih terhadapnya, sama sahaja dengan para saintis dan artis. Andaikan, tanggapan-tanggapan berikut disuarakan mengenai keperluan utama yang perlu dilakukan dalam proses perubahan sosial; pertama, pada satu-satu tahap teknologi yang dimiliki manusia, perkara yang paling penting yang harus dilakukan adalah untuk memperbaik enjin pembakaran dalaman pada kenderaan, dan kedua, bagi satu-satu fasa pada perkembangan sosial pula, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kajian terhadap pengukuran fiskal yang dapat memperbaik operasi sistem kapitalisme negara yang diamalkan oleh demokrasi Barat. Universiti kita menawarkan kebebasan dan galakan terhadap sesiapa yang mempersoalkan tentang andaian yang pertama (pada persoalan-persoalan berkait sains tabii dan teknologi) tetapi jarang sekali untuk mereka yang mempersoalkan andaian kedua. Sebabnya jelas. Apabila suara dominan di dalam mana-mana masharakat  adalah suara mereka yang mengutip manfaat daripada status quo, para “intelektual yang terasing” yang cuba untuk melalui jalan normal sebagai seorang yang jujur terhadap sifat ingin tahunya – ya, mungkin sahaja dia termasuk ke dalam jalan yang salah – akan sering menemukan dirinya mencabar hikmah konvensional dan selalu pula menjadi individu yang ditinggalkan dan berseorangan. Sejauh mana universiti menyediakan perlindungan dan sokongan kepada “para intelektual terasing” ini akan menjadi kayu ukur terhadap sejauh mana universiti memainkan peranannya yang sebenar dalam masharakat.  Ianya juga adalah suatu pengukuran kesanggupan masharakat untuk menyerahkan ideologi dan struktur pemikirannya kepada analisis kritikal dan penilaian telus, serta kesanggupan mereka untuk mengatasi ketidaksamaan dan kelompongan yang bakal didedahkan hasil analisis dan kritikan yang dilakukan.

Permasalahan sebegini yang sememangnya ditakdirkan untuk terus wujud, selama mana masharakat manusia terus hidup – dan telah menjadi lebih kritikal pada beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh beberapa perkara. Dalam suasana masharakat industri yang maju, penghubungan di antara universiti dan institusi sosial luaran yang lainnya seringkali menjadi lebih sukar dan rumit.

Hal ini adalah suatu fenomena yang tidak asing lagi. Pada setengah abad yang lalu, Randolph Bourne menyatakan bahawa Perang Dunia telah membawa kita kepada pemerintahan yang liberal, intelligensia yang teknikal “yang sangat bersedia untuk menerima arahan eksekutif serta melaksanakannya, tetapi kasihan sekali, tidak bersedia untuk pentafsiran intelektual atau memfokuskan perhatian secara idealistik terhadap matlamat-matlamat yang ingin dicapai,” melahirkan para intelektual pragmatik yang “menyerap segala rahsia kaedah saintifik seperti yang diaplikasikan dalam pentadbiran politik” serta sentiasa bersedia untuk “memberi khidmat kepada penciptaan teknik-teknik perang.” Tatkala kita menoleh ke arah universiti, dengan mengambil Universiti Columbia selaku prototaip, beliau menggambarkan ianya sebagai “sebuah syarikat kewangan, yang mirip benar, pada motif dan respon-responnya terhadap permasalahan yang dihadap masharakat, dengan sebuah syarikat yang mempunyai fokus kepada penghasilan komoditi  dalam industri … [dalam kes ini], universiti ‘menghasilkan’ pembelajaran (sebagai komiditi) dan bukannya besi mahupun getah, namun sifat ‘komoditi akademik’ ini semakin lama semakin kurang menjanjikan status yang berlainan kepada pegawai kerja akademik daripada pekerja-pekerja dalam industri lain.” Beliau menyatakan bahawa, para pemegang amanah di universiti melihat tugas mereka sebagai “menjamin kualiti komoditi yang dihasilkan oleh universiti kekal bereputasi kepada kelas yang mereka wakilkan,” “Di bawah kawalan para pemegang amanah ini,” Bourne menyatakan, “Univeristi di Amerika pada masa ini telah kurang nilainya berbanding pada masa lalu, di mana ianya telah berubah daripada sebuah institusi keilmuan mulia kepada sebuah syarikat persendirian.”

Ciri-ciri yang Bourne nyatakan tentang universiti boleh dipersoalkan dalam banyak aspek, tetapi ianya tidak dinafikan mempunyai kesahihan yang kurang disenangi , lebih-lebih lagi pada waktu sekarang berbanding dahulu, semasa beliau mula menulis mengenainya. Para pembaca tentunya sedar bahawa gerakan mahasiswa pada beberapa tahun kebelakangan ini telah – dengan agak bebas – menghasilkan kritik yang sama terhadap universiti, selalunya dengan retorik yang juga sama. Sekali lagi, kita boleh tunjukkan beberapa tokok tambah yang agak berlebihan (pada retorik mereka) tetapi adalah suatu kesilapan besar untuk kita menidakkan beberapa pernyataan yang benar (di sebalik retorik mereka) ini.

Sebab lain yang menjadikan masalah universiti kini menjadi lebih membimbangkan berbanding dahulu ialah, universiti pada masa ini, dalam skala yang besar yang tidak pernah terjadi sebelumnya, menjadi pusat kepada kehidupan intelektual. Bukan sahaja saintis dan cendekiawan, malahan penulis juga artis telah tertarik untuk menyertai komuniti akademik di universiti. Hal ini terjadi sedemikian sehinggakan komuniti-komuniti intelektual yang lain telah lenyap, sekaligus permintaan terhadap kehidupan universiti semakin meningkat. Mungkin ini adalah salah satu faktor kepada krisis universiti pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Tatkala hal-hal politik semakin dikeluarkan daripada ruang kemasharakatan di Amerika pada tahun 1950 an, dan berlakunya penyempitan berbagai jenis pemikiran sosial, universiti telah menjadi, bagi kebanyakan mahasiswa sebagai satu-satunya pusat ransangan intelektual. Lionel Trilling dalam sebuah temu bual baru-baru ini menyatakan bahawa beliau sendiri tidak boleh menggambarkan pengalamannya sebagai pelajar dahulu yang boleh membantunya memahami motivasi “pelajar ala-ala tentera” di Universiti Columbia pada masa kini:

Sepertimana kawan-kawan saya yang lain di kolej, saya tidak mempunyai sedikit pun minat terhadap universiti sebagai sebuah institusi: Tatkala saya memikirkan tentangnya, saya sering membayangkan universiti sebagai tempat orang yang mempunyai masa lapang menghabiskan masanya dengan bosan, beberapa guru yang menarik, dan sebuah perpustakaan. Saya mendapati ianya amat sukar untuk mempercayai bahawa sikap ini bukan lagi sikap para pelajar kini.5

Ini adalah satu komentar yang tepat. Pada masa lalu, hanya peminat bola sepak Amerika (yang dimainkan di kolej-kolej) yang mempunyai minat yang sedemikian terhadap universiti. Tetapi perubahan besar sedang berlaku pada aspek ini sekarang. Mereka yang mempunyai minat terhadap institusi universiti secara amnya ianya adalah pada pelajar yang serius dan suka berfikir, yang sangat khuatir akan sifat universiti yang sebenar dan terkesan akan keruntuhan ma’nanya. Lebih kurang 20 tahun yang lalu [1949] , mahasiswa-mahasiswa ini – sekurang-kurangnya yang tinggal di universiti di bandar – akan mencari tempat lain untuk kegiatan intelektual dan kehidupan sosial yang pada zaman ini disediakan oleh institusi universiti.

50869289

Secara peribadi, saya merasakan tentangan yang kuat yang telah disuarakan oleh gerakan mahasiswa adalah merupakan salah satu perkembangan yang memberi harapan pada masa yang sukar ini. Adalah sesuatu yang bersifat kebudak-budakan untuk merasa takjub dengan perbuatan-perbuatan mengarut dan menyakitkan hati (yang dilakukan oleh para pelajar yang berdemonstrasi) ini sehingga kita gagal untuk melihat isu sebenar di sebalik huru-hara yang berlaku. Orang yang mempunyai pertimbangan yang kurang akan mudah merasa ‘tersinggung’ dengan gerakan pelajar yang melampau ini, tetapi tidak pada peristiwa atau situasi mahupun kebobrokan institusi yang membawa kepadanya. Orang begitu, yang mampu menuturkan kata-kata berikut, telah kehilangan cara untuk memahami realiti:

Universiti-universiti kita telah memutuskan bahawa bagi mengelakkan rusuhan berlaku di kawasan kampus, kredit akademik akan diberikan kepada mahasiswa yang melakukan ‘rusuhan’ di luar kampus (kerja lapangan di kawasan tempat tinggal etnik minoriti, dalam kalangan pekerja asing dsb)

Pernyataan di atas sebenarnya menggambarkan andaian seseorang mengenai kerja lapangan di kawasan tempat tinggal etnik minoriti atau dalam kalangan pekerja asing sebagai suatu bentuk ‘rusuhan’ [berserta konotasi-konotasi negatif yang biasa diletakkan pada perkataan ini – pent]; seolah-olah kerja-kerja sebegini adalah tidak layak disertakan dalam program akademik di kolej-kolej – bukan seperti kerja-kerja menghasilkan alatan peperangan biologi atau kaedah-kaedah memadamkan rusuhan, yang tidak pula digambarkan sebagai suatu bentuk ‘rusuhan’.

    Suatu persepsi yang agak kurang melampau –  namun masih bermasalah – terhadap gerakan mahasiswa ialah yang disuarakan oleh George Kennan, tatkala beliau menzahirkan kekhuatiran akan apa yang beliau lihat sebagai,

kacau bilau dan keterujaan yang melampau dalam kalangan pelajar yang terperangkap dalam gejala dadah, pornografi dan histeria politik7

Sekali lagi, adalah sesuatu yang menghairankan apabila Kennan tidak memberikan perhatian langsung terhadap “kacau bilau dan keterujaan yang melampau” yang dialami oleh mereka yang bertanggungjawab menjatuhkan bertan-tan bom di Vietnam Selatan yang jauh melebihi jumlah bom yang dijatuhkan oleh Tentera Udara A.S dalam Perang Dunia Kedua, atau “kekacauan aqal fikiran” yang dialami oleh mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kelahiran “histeria politik” anti-komunisme pada tahun 1950 an, atau dalam hal ini, para pelajar yang masih “terperangkap” dalam atmosfera tradisional konformisme dan kolej yang pasif, yang mana bentuk ‘rusuhan’ yang mereka kenali cumalah yang berkait dengan permainan bola sepak.

    Ketidakrasionalan yang menjadi ciri-ciri utama tindak balas terhadap apa yang dilakukan oleh gerakan mahasiswa adalah suatu fenomena yang luar biasa, yang mana adalah berbaloi untuk dibuat analisis ke atasnya. Yang lebih penting sebenarnya adalah sejauh mana kita berusaha untuk menyahut cabaran yang diutarakan gerakan mahasiswa ini sebagai suatu bentuk ransangan kepada pemikiran yang kritis dan tindakan-tindakan sosial terhadapnya, mungkin dalam bentuk yang lebih radikal, yang sebenarnya amat diperlukan dalam masharakat yang bermasalah seperti kita, walaupun mungkin berbahaya.

    Sejak Perang Dunia kedua, kita telah membelanjakan lebih satu trilion untuk “pertahanan” dan sekarang sedang membelanjakan berbilion pula untuk suatu bentuk “pertandingan” yang bersifat keanak-anakan; iaitu untuk meletakkan manusia di bulan. Para saintis dan Ahli Teknologi kita sedang berusaha untuk membina Sistem Anti-Balistik Peluru Berpandu [ABM] yang memakan belanja berbilion dolar walaupun mereka tahu yang ianya tidak akan memberikan keuntungan kepada pertahanan negara, dan hanya akan berpotensi menyumbang kepada kemunculan suatu perlumbaan penciptaan persenjataan yang boleh memakan diri negara-negara yang terlibat kemudiannya. Pada masa yang sama, bandar-bandar kita musnah, terdapat berjuta-juta orang yang berada dalam kelaparan dan keperluan-keperluannya tidak diambil peduli, dan lebih sedih lagi, mereka yang menaikkan isu ini dalam kalangan orang awam akan disoal siasat oleh FBI. Adalah tidak boleh untuk kita terus bertolak ansur, tatkala masharakat kita secara terus-terusan mengambil – sebahagiannya untuk digunakan, dan sebahagian besar lagi dibazirkan secara tidak sedar – sumber material dalam dunia yang sebenarnya tidak terbatas. Tiada perkataan boleh menggambarkan betapa teruknya kesanggupan kita untuk menghancurkan [manusia dan masharakat lain], dengan skala yang tiada tandingan dalam dunia kontemporari ini, tatkala pemimpin kita melihat mereka sebagai suatu bentuk ancaman kepada “matlamat nasional” yang mereka sendiri cipta, dan lebih teruk lagi, masyarakat awam yang pasif ini menerimanya tanpa bantahan.

Mungkin pertimbangan seorang ahli sains sosial berbangsa Pakistan ini dianggap sebagai suatu yang melampau, tatkala beliau menyatakan bahawa “Amerika telah menginstitusikan pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai (genocide),” ketika beliau merujuk kepada peristiwa penghapusan masharakat India yang, menurut beliau, “telah menjadi semacam suatu objek hiburan orang awam dan permainan anak-anak di Amerika”.8 Jika kita tinjau apa yang tertulis di dalam buku teks di sekolah-sekolah, ternyata pertimbangan beliau sah. Ayuh kita teliti penerangan yang terdapat dalam silibus gred empat tentang penghapusan puak Pequot oleh Kapten John Mason:

Tenteranya yang sedikit itu menyerang sebelum subuh dan ini mengejutkan Puak Pequot. Tentera-tentera itu memusnahkan benteng mereka menggunakan kapak, kemudiannya segera memasuki kawasan mereka lantas membakar pondok-pondok kediaman. Mereka membunuh hampir kesemua lelaki, ibu-ibu dan anak-anak, kemudiannya membakar ladang jagung mereka dan makanan-makanan lain. Tiada puak Pequot yang tinggal untuk membuat masalah lagi. Apabila suku-suku berbangsa India yang lain melihat betapa bagusnya para pahlawan Amerika, mereka berusaha mengekalkan keamanan selama bertahun-tahun.

“Saya berharap saya ialah lelaki dan ada pada waktu itu,” fikir Robert.9

Seorang kanak-kanak yang mempunyai sikap sebegini akan menjadi manusia yang boleh berbuat perkara sepertimana yang disaksikan oleh seorang rakyat British:

Saya bertanya kepada seorang rakyat Amerika yang baru sahaja mengarahkan serangan udara terhadap beberapa pondok dan sampan (menyebabkan sampan ini berkecai dan berterbangan ke pelbagai arah) apakah serangan udara seperti itu tidak akan banyak membunuh ramai rakyat yang tidak berdosa? “Tetapi mereka tidak patut tinggal di sini,” kata beliau.10

[Universiti menyediakan analisis kritikal terhadap institusi-institusi dan ideologi-ideologi yang kita miliki]

Adalah mustahak untuk kita sertakan di sini bahawa media massa turut menyumbang kepada pembentukan sikap yang kita dapati di sekolah-sekolah hari ini, bukan secara terus akan tetapi melalui sokongannya terhadap ‘sikap pasif’ para penuntut secara umum. Pemerhatian yang dilakukan oleh Paul Lazarsfeld dan Robert Merton ada benarnya apabila mereka menyatakan:

Media-media ini bukan setakat secara terus-terusan menjamin status quo, malahan mereka gagal untuk membangkitkan persoalan-persoalan penting [dalam kalangan pelajar] mengenai struktur masyarakat. Dengan memacu sikap pelajar supaya terus akur dengan status quo tersebut, di samping menyediakan asas yang amat sedikit untuk berlakunya penilaian kritikal terhadap masharakat [oleh para penuntut], kumpulan media yang didanai secara komersial ini secara tidak langsung mengekang sebarang bentuk perkembangan yang meyakinkan pandangan kritikal yang asli [dalam kalangan pelajar].

    Makalah ini bukanlah suatu tempat untuk kita lanjutkan perbahasan [mengenai peranan media] ini; cukuplah kita tunjukkan bahawa, berdasarkan sebab-sebab yang telah diusulkan dalam perenggan-perenggan sebelum ini, bahawa adalah suatu hal yang amat mustahak, bagi kita dan masharakat dunia seluruhnya, agar institusi-institusi dan ideologi-ideologi yang kita miliki dianalisis secara serius. Universiti-universiti yang kita dirikan harus menjadi objek utama analisis kritikal tersebut, pada masa yang sama, universiti-universiti ini harus menyediakan “bentuk institusi” tertentu di mana di dalamnya analisis kritikal yang kita mahukan dapat dijalankan secara bebas. Tatkala kita membincangkan keadaan-keadaan tertentu dalam sejarah ini, adalah baik untuk kita rujuk ungkapan oleh Bertrand Russell:

Tanpa pemberontakan, manusia akan keras kaku, dan ketidak-adilan tidak akan boleh diubati lagi. Manusia yang enggan patuh terhadap autoriti (politik) mempunyai – dalam keadaan-keadaan tertentu – suatu peranan yang sah, asalkan ketidakpatuhannya itu mempunyai motif berasaskan masharakat, bukannya peribadi.

*Keadaan-keadaan tertentu dalam sejarah inilah* yang memberi konteks kepada pengkajian terhadap fungsi universiti dan cabaran-cabaran semasa terhadapnya.

Dunia bertindak balas secara berbeza terhadap kebangkitan pelajar yang kita saksikan hari ini. Nathan Glazer mengajukan suatu soalan bahawa “apakah *kumpulan aktivis pelajar radikal* ini mewakili dunia yang lebih baik yang bakal muncul, atau apakah mereka mempercayai cita-cita lapuk dan romantis yang mustahil tercapai, yang bertentangan secara fundamental dengan cita-cita dan keinginan-keinginan lain yang mereka sendiri hajatkan, dan yang bertentangan lebih lagi dengan keinginan-keinginan orang lain.” Beliau cenderung terhadap pandangan yang kedua; bahawa gerakan pelajar radikal [pada zaman beliau] yang wujud, menurut beliau “lebih mirip kepada golongan Luddite sang penghancur mesin daripada kesatuan pekerja Sosialis yang berjaya mendapatkan kewarganegaraan dan kuasa untuk para pekerja.” Dari sudut lain, sila perhatikan tindak balas Paul Riceour terhadap pemberontakan besar-besaran pelajar Perancis pada May 1968:

Tanda-tanda [kebangkitan] ini amat jelas. Dunia Barat kini telah mengalami suatu revolusi budaya yang lain daripada yang lain, suatu revolusi masharakat industri yang maju, sungguhpun ianya dipinjam atau mirip kepada revolusi Cina. Revolusi ini suatu bentuk revolusi budaya kerana ianya mempersoalkan pandangan alam dan konsep kehidupan yang mendasari struktur ekonomi, politik serta keseluruhan hubungan-hubungan antara manusia. Revolusi ini menyerang kapitalisme bukan hanya kerana ianya gagal untuk menatijahkan keadilan sosial, malahan kerana kapitalisme berjaya dengan gayanya memperdaya manusia menggunakan komitmen luar biasa diri mereka untuk memperbaik sudut kuantitatif taraf hidup mereka. Revolusi ini menyerang birokrasi bukan hanya kerana ianya menyusahkan dan tidak efektif, malahan kerana ianya meletakkan manusia dalam kedudukan hamba terhadap totaliti kuasa, struktur dan hubungan hierarki yang begitu asing buat mereka. Akhir sekali, revolusi ini menyerang ‘nihilisme’ masharakat yang, ibarat tisu-tisu kanser di dalam suatu badan, tidak mempunyai apa-apa matlamat selain membiakkan dirinya [secara rawak dan liar]. Berhadapan dengan masharakat yang tidak mempunyai arah, revolusi budaya ini cuba mencari-cari jalan untuk membuahkan barangan, idea dan nilai yang terkait dengan matlamat-matlamatnya. Usaha yang sebesar gergasi ini; bakal mengambil masa bertahun, berdekad, malah berabad lamanya.

Glazer (sepertimana Brzezinski – lihat nota 7) melihat para pemberontak dalam kalangan pelajar ketika itu mirip golongan Luddite, yang merasakan diri mereka terasing, gagal menjumpai peranan yang harus mereka mainkan dalam masharakat dunia baru yang bercirikan teknologi maju dan pengurusan sosial yang rumit. Mereka, menurut beliau, “datang daripada lapangan-lapangan [masharakat] yang mempunyai tempat yang terhad dan samar-samar dalam masharakat kontemporari”. Sebaliknya, Ricoeur mengajukan pandangan beliau yang amat berbeza bahawa: dalam beberapa tahun akan datang, akan muncul konflik yang meruncing dalam masharakat industri yang maju ini di antara daya memusat (centralizing force) yang dimiliki birokrasi teknikal yang wujud, yang menghalakan masharakat ke arah matlamat-matlamat yang tidak jelas, dengan daya yang cuba untuk merombak kehidupan sosial di atas asas “penyertaan aktif” masharakat [dalam urusan-urusan kemasharakatan] dan kawalan popular [massa ke atas urusan-urusan tersebut]. Kedua-dua penafsiran ini menyedari akan wujudnya suatu proses sejarah besar yang sedang berlaku. Mereka berbeza pendapat mengenai di mana mereka jangkakan (dan tanpa boleh disangkal, mereka berharap) proses ini akan berakhir, begitu juga dengan penafsiran mereka terhadap pemberontakan dan ketidakpatuhan para pelajar yang berlaku.  Kedua-duanya menjangkakan bahawa universiti berada di tengah-tengah segala konflik yang berlaku ini. Mereka yang optimis mungkin berharap yang universiti terletak betul-betul di pusat puting beliung hiruk-pikuk ini (bahagian tengah puting beliung biasanya tidak terjejas dengan deras angin puting beliung – pent.) – namun adalah lebih realistik untuk kita jangkakan bahawa universiti akan terus-terusan terperangkap dalam kontroversi dan kekacauan yang wujud.

Sukar untuk kita ragukan bahawa kita kini sedang mengalami proses pemusatan kuasa dan pembirokrasian bukan sahaja di dalam lapangan ekonomi, malahan dalam lapangan organisasi sosial dan politik. Krisis yang wujud pada institusi-institusi parlimen merupakan suatu fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Reaksi terhadap permasalahan ini boleh dilihat bukan hanya dalam bentuk pemberontakan-pemberontakan di universiti, bahkan juga berlaku dalam bentuk pencarian, pengurusan dan kawalan komuniti – yang terpapar pada muka hadapan media sejak beberapa bulan kebelakangan ini – serta usaha untuk mewujudkan lebih banyak kawalan secara langsung oleh para pekerja, yang seringkali bertentangan dengan kesatuan pekerja yang sarat dengan birokrasi dan kian hari kian jauh daripada keperluan sehari-harian kumpulan pekerja yang mereka wakili. Perkembangan yang sama juga dapat dilihat di kawasan Eropah Timur.

[Komitmen gerakan pelajar terhadap “ beberapa pasaran idea yang tertentu”]

Pergerakan pelajar yang wujud kini harus, saya percaya, difahami menggunakan konteks yang lebih umum ini. Universiti-universiti kita tidak akan mampu mengelakkan diri mereka daripada terlibat dengan konflik sosial yang muncul, sungguhpun kita juga tidak mampu menjangka hala tuju mereka dalam menghadapi konlik-konflik tersebut. Keterkaitan institusi universiti dengan institusi-institusi sosial yang lain, seperti yang telah kita sebutkan sebelum ini, menjamin hal di atas untuk berlaku. Malahan, dalam beberapa tahun akan datang, orang akan mula mempersoal tanggapan asas kita mengenai masharakat moden bahawa kemajuan teknologi merupakan suatu fenomena yang tidak dapat dielakkan, serta merupakan proses yang dilihat baik untuk masharakat seluruhnya; yang mana datang bersama-sama kemajuan teknologi tersebut kritikan terhadap peranan universiti dalam memajukan ilmu pengetahuan dan teknik-teknik penggunaannya. Tatkala para pelajar kita di Eropah Timur memilih “Ho, Ho, Ho Chi Minh” selaku teriakan protes mereka, para pelajar ini bukan sahaja menentang kempen Perang Vietnam ketika itu semata-mata; mereka juga memberikan tindak balas menentang nilai-nilai sebuah masharakat industri, membangkang peranan yang diberikan kepada mereka selaku pengurus masharakat ini, serta menyanggah bentuk rasionalisme masharakat yang tidak mempunyai sebarang bentuk keadilan di dalamnya, yang – sepertimana mereka melihatnya dengan tepat sekali – tatkala diterjemahkan kepada praktis: menjadi alat untuk memelihara keistimewaan golongan tertentu dan tatacara kemasharakatan [yang memberi manfaat kepada sebilangan kecil individu], namun langsung tidak mampu menyediakan keperluan-keperluan asas manusia. Pergerakan-pergerakan pelajar di Amerika juga sebahagian besarnya terpengaruh dengan semangat yang sama.

 art-college-closed-1968-brighton   Dalam banyak aspek, kita boleh perhatikan bahawa wujud banyak sebab yang menjadikan universiti sebagai sasaran protes oleh para pelajar. Kritikan yang pedas daripada James Ridgeway mungkin boleh kita ketepikan, namun pada dasarnya, kritikan beliau amat realistik, dan berupaya mengganggu fikiran para pelajar yang terlibat dalam protes. Adakalanya, reaksi terhadap masalah-masalah di universiti ini lahir dalam bentuk perasaan jijik terhadap kebobrokan institusi tersebut, dan adakalanya, menjadi agresif dan bersifat ketenteraan. Sungguhpun begitu, masalah-masalah yang kita temukan ini tidak akan mampu diselesaikan dalam kerangka sistem universiti sedia ada.

Sebagai contoh, ayuh kita tinjau isu kontrak yang diberi oleh kerajaan untuk tujuan penyelidikan. Menurut idea liberal klasik, yang juga disuarakan oleh Marx, “kerajaan dan gereja harus … diasingkan pengaruh keduanya daripada sekolah-sekolah”. Pada sudut yang lain pula, adalah sukar disanggah hakikat bahawa kontrak penyelidikan yang diberi oleh kerajaan menyediakan subsidi tersembunyi untuk membiayai penyelidikan-penyelidikan oleh yang dijalankan oleh fakulti-fakulti, yang seharusnya dibiayai oleh universiti. Tambahan pula, pemilihan tajuk penyelidikan, sekurang-kurangnya dalam bidang sains di universiti-universiti terkemuka adalah tidak terlalu terpengaruh dengan sumber kewangan yang mereka terima untuk penyelidikan tersebut. Adalah sukar diragukan juga hakikat bahawa, pendidikan dalam bidang sains tidak akan mampu diteruskan pada tahap yang seharusnya, tanpa bentuk pembiayaan oleh kerajaan seperti ini. Gerakan pelajar radikal, seharusnya mempersoalkan diri mereka sendiri; mengapakah bantuan kewangan oleh Kementerian Pertahanan adalah lebih ditentang berbanding biaya daripada institusi-institusi kapitalis terhadap kajian-kajian di universiti – yang diperoleh daripada keuntungan hasil daripada eksploitasi kelompok pekerja – atau biaya daripada hadiah-hadiah bebas cukai yang pada akhirnya adalah suatu bentuk bayaran yang dikenakan terhadap orang-orang miskin untuk membiayai pendidikan mereka yang mempunyai keistimewaan dalam masharakat.

Salah sebuah legasi peninggalan liberalisme klasik yang harus kita perjuangkan agar ditegakkan dengan kukuh, di dalam pagar universiti dan diluarnya, adalah komitmen kita terhadap “sebuah pasaran idea yang bebas”. Pada hal-hal tertentu, komitmen terhadap legasi ini hanya mainan bibir semata-mata. Tugas kita, bagaimanapun, adalah untuk mengembangkan, bukan untuk menyekat kebebasan ini untuk wujud – dan kebebasan ini bukanlah sesuatu yang tidak penting. Para pelajar kita tidak salah apabila mereka bertanya; mengapakah ahli-ahli fakulti di universiti dibenarkan untuk menyumbang kepada pasaran senjata atau dibenarkan untuk bekerja membantu kerajaan mencegah pemberontakan? Para pelajar ini turut menyuarakan, dengan begitu adil sekali; adalah tidak wajar untuk kita wujudkan dakwaan bahawa hal ini merupakan suatu komitmen yang dipilih sendiri secara bebas oleh ahli-ahli fakulti yang terlibat. Akses kepada dana, kuasa dan pengaruh adalah diberikan secara terbuka kepada mereka yang terlibat dengan kerja-kerja seperti ini (membantu kerajaan melumpuhkan gerakan pemberontakan), namun sebaliknya pula yang berlaku kepada ahli akademik yang memilih untuk mengkaji cara-cara yang mungkin wujud supaya pasukan gerila bersenjata mampu mengalahkan musuh yang mempunyai kemajuan teknologi yang jauh lebih terkehadapan. Andai universiti kita benar-benar “neutral dan bebas”, semua jenis pekerjaan [yang dipilih oleh pihak apapun dalam sesebuah konflik] – seperti yang kita sebutkan sebelum ini – harus diberi layanan dan didanai dengan adil.

    Hujah ini sah, namun ianya tidak merubah fakta bahawa komitmen para pelajar terhadap pasaran idea yang bebas ini dijalankan dengan keinginan yang keras dan didasari keyakinan bahawa komitmen inilah yang seharusnya kita berikan. Hanya paksaan yang mampu menghapuskan kebebasan untuk menjalankan kerja-kerja seperti yang kita sebutkan di atas [pengkajian mahupun penyelidikan yang tidak menyebelahi pemerintah]. Sebaik sahaja kita tegakkan prinsip yang mengatakan bahawa sebarang bentuk paksaan adalah tidak sah di dalam lingkungan universiti, jawapan kepada persoalan ‘kepada siapakah paksaan tersebut akan digunakan?’ menjadi lebih jelas (kepada ahli akademik yang bukan pro-kekuasaan, tentunya!). Prinsip yang mengatakan bahawa ‘paksaan’ adalah sah di dalam lingkungan pagar universiti akan menghancurkan institusi universiti sebagai sebuah institusi yang serius; ianya akan menghancurkan nilai universiti terhadap suatu masharakat yang bebas. Hal ini harus kita sedari dengan insaf, sungguhpun kebebasan yang kita nikmati kini tidaklah seperti yang diimpikan dalam bentuknya yang ideal.

    Dalam beberapa aspek tertentu, isu pembiayaan penyelidikan oleh Kementerian Pertahanan yang dibangkitkan para pelajar adalah sedikit mengelirukan. Pengkajian mengenai senjata kimia dan biologi yang digunakan dalam peperangan atau penyelidikan mengenai langkah menangani kebangkitan rakyat tidaklah akan menjadi lebih kurang ‘keras’ andai dibiayai oleh Kementerian Kesihatan, atau Jabatan Penyelidikan Sains Sosial, sepertimana kerja-kerja pengkajian dalam lapangan fizik tidak akan menjadi tercemar andai dibiayai oleh Kementerian Pertahanan. Persoalan yang lebih utama adalah sifat pengkajian yang dibuat dan atas tujuan apa hasil pengkajian tersebut bakal digunakan, bukannya isu birokrasi mengenai sumber pembiayaannya. Ya, isu sumber pembiayaan pengkajian ini mungkin ada signifikannya, andai kita berhujah mengenai bagaimana Pentagon meraih penghormatan [daripada masharakat umumnya] dan kuasa melalui tindakannya mendanai pelbagai jenis penyelidikan. Untuk masharakat Amerika secara keseluruhannya, hal yang berlaku ini merupakan petanda yang amat kecil kepada suatu tragedi yang lebih besar, proses penenteraan yang mengambil tempat secara berterusan dalam masharakat Amerika yang juga berkemungkinan tidak mungkin diundur semula. Namun dalam kes universiti-universiti khususnya, pada saya, isu ini teramat kecil. Satu lagi isu sampingan, pada pandangan saya, adalah persoalan mengenai kampus sebagai tapak penyelidikan ketenteraan. Malahan, para penduduk Vietnam (yang diperangi Amerika pada 1960an) tidaklah kisah pun sama ada teknologi ketenteraan yang digunakan Amerika untuk menghancurkan dan menindas mereka dihasilkan di dewan-dewan universiti. Dan para mangsa perlumbaan dalam pasaran senjata (oleh para pemain utamanya) – sama ada mangsa sedia ada, yang terkesan teruk dengan pembaziran sumber, baik sumber material mahupun intelektual, yang sebenarnya amat diperlukan dalam lapangan lain masharakat, mahupun mangsa yang mungkin terkesan dengan malapetaka persenjataan tersebut di masa hadapan – tidak lah berminat sangat untuk mengetahui sama ada nasib mereka ditentukan di dalam ‘Fakulti Kematian’ di dalam kampus universiti, atau di Los Alamos mahupun Fort Detrick, beratus batu jauhnya daripada mereka. [Penentangan terhadap penyelidikan ketenteraan di universiti] ini boleh jadi, suatu langkah ke belakang yang merugikan. Kita mungkin boleh berhujah bahawa selagi penyelidikan ketenteraan ini perlu dijalankan, ianya seharusnya dibuat di kampus-kampus, di mana wujud peluang untuk para aktivis dan pemprotes dalam kalangan pelajar untuk memberikan perhatian terhadap penyelidikan-penyelidikan ini, sekaligus meningkatkan kesedaran awam mengenainya.

Mungkin pada hemat saya, salah satu petanda yang mampu memberi harapan kepada kita semua, adalah peningkatan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kegunaan hasil-hasil kajian yang dijalankan di universiti-universiti ini. Ada beberapa pihak yang mungkin bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Edward Teller bahawa; “kita seharusnya mempercayai proses-proses sosial kita” untuk mengambil manfaat sebaiknya daripada kemajuan teknologi dan “tidak harus dikelirukan dengan argumen yang melibatkan kesan dan kos”. Persoalan mengenai penggunaan teknologi ini mempunyai banyak sisi yang harus dilihat bersama: ianya melibatkan penilaian sejarah dan politik yang kompleks, beserta dengan isu-isu teknikal yang mengiringinya. Seharusnya, persoalan ini hendaklah dihadapi oleh para pelajar pada suatu masa dalam kehidupan mereka; tatkala mereka sedang bebas untuk menjengah kepelbagaian dimensi-dimensi permasalahan yang wujud, disokong oleh komuniti yang turut mempunyai keinginan untuk mencari jawapan kepada persoalan yang sama, daripada para pelajar ini dibiarkan terasing dalam pasaran pekerjaan yang penuh dengan persaingan. Disebabkan hal-hal di atas inilah, isu penyelidikan ketenteraan di kampus-kampus, pada saya, adalah suatu isu yang agak rumit.

[Matlamat reformasi universiti]

Mereka yang mempercayai bahawa perubahan sosial yang radikal adalah amat diperlukan dalam masharakat kita akan seringkali berada dalam keadaan dilema tatkala berhadapan dengan persoalan mengenai reformasi universiti. Mereka tentunya mahukan universiti untuk menjadi sebuah institusi yang bebas, dan mereka juga mahukan individu-individu dalam universiti tersebut untuk menggunakan kebebasan yang wujud dalam bentuk yang terhormat dan bertamadun. Mereka membuat pemerhatian bahawa universiti [di zaman mereka; pent]- atau lebih tepat lagi, ahli-ahli di dalamnya – “sentiasa bersedia untuk menyediakan perkhidmatan dalam [penciptaan] teknik-teknik peperangan” dan berfungsi untuk mengukuhkan keistimewaan untuk golongan tertentu dan mendokong penindasan yang golongan ini lakukan terhadap yang lainnya.

    Bersandarkan pemerhatian yang tepat ini, adalah mudah untuk kita terjunam ke dalam lembah kekeliruan yang serius. Tanggapan orang ramai bahawa universiti wujud semata-mata untuk menyediakan tenaga kerja untuk sistem korporat, atau universiti (dan masharakat) tidak menghasilkan apa-apa kerja yang bermakna, atau tanggapan bahawa universiti kita kini wujud untuk memaksa para pelajar untuk menerima cara hidup dan ideologi yang diterima oleh masharakat umum adalah salah, sungguhpun [di dalam pagar universiti kini] kelakuan para pelajar yang membuat tindakan-tindakan yang mengarah kepada tanggapan-tanggapan di atas adalah sangat jelas. Sekian banyak ciri-ciri kehidupan dalam universiti yang dianggap sebagai ‘tidak boleh diterima’ oleh kebanyakan pelajar adalah bukannya disebabkan campur tangan daripada para pemegang amanah, bukan juga daripada kontrak-kontrak daripada kementerian pertahanan, atau daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak administrasi, namun adalah merupakan pilihan ahli-ahli fakulti dan pelajar sendiri. Di sinilah wujudnya dilema yang kita sebutkan di atas. “Penstrukturan semula universiti” tidak mungkin akan menjadi efektif dalam menghapuskan sifat-sifat buruk institusi ini yang menjadi sasaran kritikan para pelajar. Malahan, kebanyakan cadangan-cadangan konkrit mengenai penstrukturan semula universiti yang pernah saya teliti, saya kira, berkemungkinan untuk menatijahkan kesan yang sebaliknya daripada yang diingini; cadangan ini berkemungkinan mewujudkan suatu sistem undang-undang yang boleh digunapakai, yang mungkin kelihatan demokratik di atas kertas, namun berpotensi mengehadkan kebebasan individu yang wujud dalam sebuah institusi yang mengalami pemencaran kuasa yang tinggi dan agak longgar dari sudut pentadbiran dan proses membuat keputusan, justeru agak responsif terhadap keinginan para ahlinya.

   student-debt-strike-flickr-michael-fleshman-815x521

Ya, kita mungkin boleh membayangkan bentuk reformasi yang boleh membuahkan
hasil; namun, saya syak yang bentuk-bentuk reformasi ini paling baik pun hanya akan memberi kesan yang kecil terhadap bagaimana universiti berfungsi. Masalah sebenar yang kita hadapi adalah jauh lebih dalam lagi: untuk merubah pilihan-pilihan dan komitmen peribadi individu-individu yang membentuk universiti itu sendiri. Hal ini adalah jauh lebih sukar berbanding pengubahsuaian bentuk struktur universiti secara formal, dan tidak akan terkesan sangat dengan cadangan-cadangan penstrukturan semula yang kita sebutkan sebelum ini.

    Pandangan yang termuat dalam Kenyataan Port Huron (Port Huron Statement) 1962, yang menjadi dokumen asal penubuhan Students for Democratic Society (SDS) boleh kita ambil selaku pandangan tambahan kepada isu yang kita bincangkan di atas:

Universiti kini terletak pada kedudukan kekal yang mampu mempengaruhi masharakat sosial. Fungsinya selaku institusi pendidikan secara automatik menjadikannya sebagai sebuah institusi yang amat penting dalam mempengaruhi pembentukan sikap masharakat. Di dalam dunia yang serba kompleks ini, universiti memainkan peranan yang besar selaku institusi yang mengatur, menilai, dan menyampaikan ilmu pengetahuan … Kerelevanan sosial, capaian kepada ilmu pengetahuan dan keterbukaan – kesemua ini menjadikan universiti sebagai institusi yang mampu bertindak sebagai ejen perubahan sosial dalam masharakat.

Sebarang gerakan berhaluan kiri yang baru di Amerika harus, pada skala yang besar, menjadi gerakan berhaluan kiri dengan kemahiran-kemahiran intelektual, komited terhadap ketelitian, kejujuran dan renungan sebagai alat-alat penting dalam kerja-kerja aktivis mereka. Universiti harus membenarkan kehidupan politik para pelajar sebagai tambahan kepada kehidupan akademik mereka, dan tindakan-tindakan mereka berasaskan ta’aqulan dan proses berfikir yang tajam.

    Sebarang usaha untuk mereformasi universiti, pada pandangan saya, harus dihalakan kepada matlamat-matlamat seperti berikut: bukan untuk mewujudkan atau mengetatkan halangan-halangan, akan tetapi untuk melonggarkannya; bukan bertujuan untuk menggalakkan kerja-kerja yang kini dominan di kampus universiti – yang kebanyakannya saya kira, adalah amat jelek – akan tetapi untuk membuka wahana-wahana baru dalam pagar universiti. Hal ini mampu kita lakukan, sungguhpun saya kira ianya bakal memerlukan komitmen intelektual yang tinggi, sesuatu yang saya kira amat kurang pada mereka yang mempunyai hajat untuk melakukan reformasi universiti.

    Universiti harus mengimbangi faktor-faktor pengganggu yang diwujudkan oleh permintaan-permintaan luar universiti, yang seringkali menjadi cerminan terhadap taburan kuasa dalam masharakat luar universiti, serta faktor pengganggu yang diwujudkan melalui dinamika proses pengikhtisasan – sungguhpun tidaklah kita tolak sepenuhnya proses ini – yang seringkali menghalakan pengkajian di universiti ke arah menangani masalah yang boleh diselesaikan dengan teknik dan kefahaman yang sedia wujud berbanding permasalahan yang memerlukan kefahaman baru untuk merungkaikannya. Universiti harus menjadi pusat renungan kemasharakatan yang radikal, kerana ianya kini telah pun menjadi sebuah pusat penyelidikan radikal dalam sains tabii. Sebagai contoh, universiti haruslah melonggarkan bentuk institusinya dengan lebih lagi, untuk membenarkan kepelbagaian eksperimen dan kerja-kerja pengkajian yang lebih kaya untuk berlaku, dan ianya harus menjadi singgahsana para intelektual yang bebas, rumah kepada pengkritik sosial, para pemberontak sistem, serta menjadi lapangan pemikiran radikal yang amat kita perlukan andai kita benar-benar mahu bebas daripada realiti suram yang menggugat ini. Halangan utama terhadap usaha ini bukanlah ketidakinginan para pentadbir mahupun para pemegang amanah untuk bekerjasama. Halangan yang wujud tentulah pada ketidakmahuan para pelajar untuk menjalankan kerja-kerja serius dan sukar yang kita perlukan untuk menjalankan perubahan ini, serta ketakutan para pelajar terhadap fakulti, pasukan keselamatan, autoriti [kuasa] dalam universiti.

Kesemua ini, saya kira, adalah halangan sebenar terhadap perubahan serius dan pembaharuan yang kita dambakan, sungguhpun halangan-halangan lain yang baru mungkin muncul andai kita mampu tangai halangan-halangan sedia ada ini. Inilah masalah-masalah utama yang seharusnya menggalakkan dan menghalakan usaha-usaha kita untuk merubah universiti. Secara umumnya, saya kira gerakan yang digelar ‘kiri baru’ (new left) ini mempunyai tugas yang sangat signifikan terhadap perjalanan sejarah; dan saya kira tugas ini dengan jelas telah dirakamkan dalam kenyataan Port Huron tatkala beliau menyebutkan keperluan terhadap kewujudan “gerakan berhaluan kiri dengan keupayaan intelektual yang sebenar, komited terhadap penelitian, kejujuran, dan renungan sebagai alat-alat aktivisme mereka,” yang juga komited terhadap kehidupan politik di mana “setiap tindakan adalah daripada hasil ta’aqulan dan proses berfikir yang tajam.”

Matlamat-matlamat ini mudah sekali kita lupakan tatkala kita sibuk bergelumang dalam konflik, namun ianya akan kekal bermakna, dan kita hanya mampu berharap matlamat-matlamat ini akan berterusan dihidupkan semula sebagai pemacu terhadap tindakan-tindakan positif kita.

Diterjemah oleh: Dini Nurhani dan Akmal Zulkarnain (14/09/2016)

441_1noam_chomsky_bureau-2
Noam Chomsky in the 60s
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: