Jepun Pemalas, Jerman Pencuri: Adakah budaya Masyarakat Penentu Pembangunan Ekonomi Atau Sebaliknya?

Oleh: Dini Nurhani


Jepun Pemalas, Jerman Pencuri: Adakah budaya masyarakat penentu pembangunan ekonomi negara atau sebaliknya?

Tidak ramai yang mengetahui hakikat bahawasanya Jepun suatu ketika dahulu (awal abad ke-20) digelar sebagai kaum yang pemalas, dan Jerman pula digelar sebagai kaum yang suka mencuri (sebelum pertengahan abad ke 19). Mereka dipanggil sedemikian sehinggakan sifat tersebut digelar sebagai tabiat yang wujud zaman berzaman dan dikatakan sifat yang merupakan peninggalan nenek moyang mereka (habits of national heritage).

Namun, apa yang berlaku sekarang, kedua-dua negara tersebut bukan lagi suatu kaum yang malas dan suka mencuri, malahan menjadi kaum yang sangat maju dan terkehadapan lebih-lebih lagi daripada sudut ekonominya.

Jepun merupakan negara ketiga yang mempunyai kuasa terbesar ekonomi dunia, manakala Jerman pula mempunyai kuasa terbesar dari sudut ekonomi dalam kesatuan Eropah (European Union). Jika benar mereka pernah melalui fasa di mana mereka mempunyai tabiat-tabiat buruk sebegini, bagaimana mungkin mereka dapat mencapai kemajuan seperti sekarang?

Apakah yang mengakibatkan tabiat mereka dahulu yang dikatakan wujud zaman berzaman ini nampaknya sudah pupus dalam kalangan rakyat Jepun dan Jerman pada masa kini?

Sebaliknya, mereka yang dahulunya juga digelar sebagai rakyat yang malas, tidak mematuhi masa dan ‘hidup untuk sekarang’ (live for the present), nampaknya menjadi rakyat yang dipuji-puji akan kerajinannya, sangat menepati masa, serta menjadi antara negara yang mempunyai kadar simpanan (saving rate) yang tertinggi di dunia untuk kehidupan yang lebih selamat (secure) pada masa akan datang.

Jerman yang digelar sebagai kuat penipu dan pencuri dahulu pula sekarang ini mempunyai kadar rasuah antara yang terendah di dunia. Dulunya penipu besar kini sudah menjadi orang yang jujur dan telus?

Kegilaan apakah ini? Adakah ini petanda kiamat?

Menurut Ha Joon Chang, yang menyebabkan perubahan sifat dalam budaya masyarakat mereka ini adalah sebenarnya dengan adanya perubahan serta pembangunan struktur ekonominya.

Rakyat Jepun mula mengalami perubahan sikap selepas tahun 1945. Pada waktu itu, mereka mengalami keajaiban ekonomi Jepun pasca-perang (Japanese Economic Miracle) di mana mereka pernah menjadi negara kedua yang mempunyai ekonomi terbesar dunia selepas Amerika Syarikat. Rakyat Jerman pula beransur-ansur tidak lagi mencuri dan menipu hanya selepas Revolusi Industri yang berlaku di Eropah.

Keadaan ekonomi yang baik menggalakkan beberapa perubahan sikap yang positif dalam kalangan rakyat.

Namun, perubahan sifat dalam budaya masyarakat tempatan ini bukan hanya sepenuhnya dapat dicapai jika adanya perubahan sebenar aktiviti ekonomi. Hal ini kerana walaupun pada masa kini proses perindustrian berlaku secara global, terdapat banyak negara yang lambat menuju fasa kemajuan sepertimana yang banyak berlaku di negara selatan timur Asia. Terdapat banyak negara juga yang kekal mundur di kawasan benua Afrika.

Jadi, terdapat dua aspek lain yang penting dalam menggalakkan perubahan sifat dan sikap masyarakat ke arah yang lebih baik. Ianya terletak juga kepada peranan institusi dan pembuat polisi.

Di sini, kita dapat lihat akan peri pentingnya pembuat polisi (policymaker) dalam menentukan hala tuju negara berpuluh, beratus malahan beribu tahun akan datang. Penyelamat atau pemusnah negara juga sebenarnya ada dalam kalangan pembuat polisi ini, bukannya hanya ahli politik saja.

Pembuat polisi yang mengutamakan kemajuan daripada sudut pendidikan akan melahirkan lebih banyak generasi yang terpelajar yang mana ianya mempunyai masa hadapan yang lebih cerah untuk melahirkan pemimpin yang baik.

Pemimpin yang baik ini pula bakal memimpin institusi-institusi negara dan membawa perubahan yang baik kepada masyarakat secara keseluruhan pula. Perkara inilah yang digelar sebagai ‘trickle-down effect’.

Jadi, kita boleh simpulkan keadaan yang berlaku di Jepun dan Jerman ini adalah disebabkan;

Perubahan struktur ekonomi + pakar pembuat polisi yang baik + institusi yang baik = Berubahnya sifat dan sikap yang buruk dalam kalangan masyarakat

Namun begitu, di sebalik segala perubahan sikap dan sifat yang baik yang dipunyai rakyat Jepun dan Jerman ini, perubahan struktur ekonomi sebegini menjana sikap yang tidak baik pula serta mengundang masalah yang lebih parah pula dalam kalangan masyarakat. Hal ini dinamai sebagai kesan kos lepas (opportunity cost) yang harus kita terima.

Kos lepas (Opportunity cost) ini bermakna kita harus melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Dalam erti kata lain, dalam dunia ini kita tak boleh nak dapat semua benda.

Jepun, disebalik sifat rajin dan kerja kuat ini mempunyai kadar bunuh diri antara yang tertinggi di dunia sebagai kos lepasnya. Teknologi kesihatan yang membangun pula menyebabkan mereka mengalami kadar kematian yang terendah di dunia tetapi mereka mempunyai kadar kelahiran yang sangat rendah pula.

Jerman juga mengalami masalah yang sama iaitu kadar populasi yang menua. Sepertimana kebanyakan negara maju yang lain, Jerman mengalami masalah untuk pengagihan kekayaan dengan kadar ketidaksmarataan yang semakin meninggi pada tahap Gini 0.78 iaitu yang kedua tertinggi di Kesatuan Eropah (European Union).

Sekali lagi, untuk membanteras masalah ini juga, pembuat polisi serta institusi memainkan peranan bagi menentukan hala tuju pembangunan ekonomi yang bagaimana kita mahukan akan datang.

Jadi, gaya pemikiran si pembuat polisi juga memainkan peranan. Pada masa kini, rata-rata pembuat polisi dan institusi lebih menuju ke arah ekonomi neo-liberal di mana keterbukaan ekonomi diutamakan. Adakah ianya baik untuk kita? Ianya bergantung kepada kebersediaan negara tersebut. Negara secara ringkasnya harus mempunyai pengurusan politik yang baik di samping mempunyai keluaran eksport yang kukuh sebelum memasuki pasaran antarabangsa.

Bagaimana pula jika pembuat polisi dan institusi tidak menganuti ekonomi neo-liberal? Adakah trickle down effect benar-benar berlaku dalam kerangka ekonomi neo-liberal?

Lain kali akan cuba ulas.

Rujukan:
1) Bad Samaritans: Myth of Free Trade and Secret History of Capitalism (Ha Joon Chang)
2) Globalization and Its Discontents (Joseph Stiglitz)
3) Pakcik Google

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: