Siri Sejarah Ekonomi Politik Minyak – Tinjauan terhadap bagaimana cecair hitam likat ini menjadi ‘Darah’ Kapitalisma Global abad ke-21!

Oleh: Akmal Zulkarnain


Tajuk asal: (Siri Sejarah Ekonomi Politik Minyak – Tinjauan terhadap bagaimana cecair hitam likat ini menjadi ‘Darah’ Kapitalisma Global abad ke-21!)

Nadi ekonomi kapitalisma global abad ke 21 hari ini berdenyut kencang, dan ‘darah’nya adalah minyak. Saban hari, sebanyak 96 juta tong minyak digunakan oleh pengguna seluruh dunia, baik untuk tujuan pengangkutan, penghasilan tenaga elektrik, aktiviti penghasilan di industri-industri berat, peperangan dan lain-lain. Kehidupan seharian seluruh umat manusia masakini terlalu bergantung pada produk-produk hydrokarbon (petroleum dan gas) ini, sehinggakan Daniel Yergin, seorang sejarawan minyak yang masyhur dengan adikarya beliau, The Prize; The Epic Quest for Oil, Money, and Power, mengeluarkan kenyataan yang berani sekali untuk mencerminkan ‘kegilaan’ masharakat abad ke-21 terhadap minyak dengan kata-kata berikut; ‘Masharakat kita kini dahagakan minyak!’

 

1.pngPada kacamata orang awam dan pengguna minyak sehari-harian, kehidupan ‘moden’ berasaskan penggunaan minyak ini merupakan suatu hal yang tidak asing lagi dan sudah menjadi kebiasaan. Sungguhpun mutakhir ini harga minyak semakin menjadi isu yang mendapat perhatian masharakat kebanyakan, namun, keprihatinan mereka terhadap hal-hal berkaitan minyak hanyalah seputar harga minyak yang turun naik dalam pasaran, dan bagaimana ianya mempengaruhi kos kehidupan seharian mereka. Tidak lebih dari itu. Masharakat kebanyakan akan bersedih dan merungut tatkala harga minyak naik, (kerana harga barangan lain juga turut dijangka akan naik), dan bergembira tatkala harga minyak turun.

Tak ramai yang mampu menganalisa fenomena ekonomi dan politik minyak ini menjangkaui kepompong perbahasan ‘kos sara hidup rakyat’. Minyak, pada kebanyakan orang, telahpun menjadi salah satu elemen yang sebati dengan kehidupan mereka. Andai kita telusuri sejarah industri minyak dunia, minyak hanya mula dilombong secara besar-besaran bermula pertengahan abad ke-19 (1860-an) dan hanya digunakan sebagai bahan bakar automobil sekitar empat puluh tahun selepasnya. Disebabkan minyak dan kenderaan motokar telahpun wujud (dan dihasilkan secara besar-besaran dalam skala yang tak pernah terlihatkan sepanjang sejarah manusia) sejak awal kelahiran generasi kita ini, sebuah kehidupan yang tidak bergantung kepada minyak adalah sesuatu yang tak terbayangkan – dan pada sesetengah manusia – dianggap primitif! Padahal sejarah manusia selama puluhan ribu tahun menunjukkan bahawa, walaupun tanpa kenderaan berenjin pembakaran dalaman (internal combustion engine), masa perjalanan yang jauh lebih panjang, dan paling penting, tanpa minyak, manusia mampu membina peradaban dan ketamadunan yang agung dan besar-besar; sesetengah daripadanya mempunyai sempadan geografi yang menjangkaui tiga benua!

2.png

Minyak dan gas (sumber tenaga hydrokarbon) memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada hanya menentukan harga barangan di pasaran. Sejak pertumbuhan industri minyak secara pesat lebih kurang 160 tahun yang lepas, minyak telah memberikan impak dan meninggalkan kesan yang cukup besar kepada wajah politik dan ekonomi dunia. Puluhan konflik geopolitik abad ke-20 dan 21 dapat kita temukan akarnya pada pergelutan merebut bekalan minyak. Campur tangan kerajaan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar dunia lain dalam politik Timur Tengah dalam kempen ‘perang melawan terorisma’, pada kaca mata ramai penganalisis politik ekonomi, semakin jelas keterkaitannya dengan usaha memelihara bekalan minyak mentah ke Amerika Syarikat dan benua Eropah. Minyak juga mendapat tempat dalam kebanyakan analisis politik dunia sebagai sumber konflik dan pergelutan, baik bersifat dalaman mahupun luaran, pada negara-negara seperti Angola, Sudan, Nigeria dan Indonesia. Walaupun hubungan sebab-akibat yang jelas antara minyak dan konfik di kawasan ini tidaklah bersifat konkrit (akibat wujudnya punca-punca pergelutan lain, yang adakalanya tidak terkait langsung dengan politik ekonomi minyak), peranan minyak selaku salah satu penyumbang kepada tercetusnya perbahalahan politik di kawasan-kawasan tersebut tidak wajar diketepikan.

Penggunaan minyak dan bahan bakar dalam skala gergasi mutakhir ini juga membangkitkan permasalahan dan isu-isu alam sekitar, pemanasan global, dan krisis tumpahan minyak yang memusnahkan ekosistem di banyak tempat. Sifat kapitalisma abad ke-21 yang membenarkan modal dipusatkan dan dimiliki oleh beberapa syarikat multinasional, bersekali dengan kepentingan strategik minyak terhadap kerajaan-kerajaan tertentu, menyebabkan wujudnya hubungan yang unik antara banyak kerajaan dan syarikat-syarikat multinasional yang mempunyai pengaruh cukup besar terhadap dasar luar negara kerajaan-kerajaan tersebut. Hal-hal penting dan isu-isu besar ini, semuanya tidak pernah bangkit, melainkan setelah munculnya era minyak pada pertengahan 1860-an.

Dari mana ‘kegilaan dan kehausan masharakat dunia’ yang digambarkan Yergin ini bermula? Bagaimana ceceair hitam likat berbau tengik yang mengambil masa jutaan tahun untuk terbentuk jauh di kerak bumi, disedut keluar oleh tangan-tangan manusia dalam skala yang maha besar tak pernah disaksikan oleh sejarah manusia sejak azali, dan merobah langsung lanskap politik dan ekonomi dunia, meruntuhkan sesetengah kerajaan di atas muka bumi, dan menaikkan kerajaan yang lainnya? Siapa yang bertanggungjawab di atas perubahan-perubahan ini, dan siapa pula yang mendapat manfaat daripadanya?

Persoalan-persoalan penting ini harus kita ajukan dalam usaha kita memahami selirat rangkaian hubungan kuasa dan politik antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan industri minyak global. Mengapakah persoalan-persoalan ini harus menjadi sebahagian daripada keresahan pelajar ekonomi hari ini? Jawapannya mudah; sebarang bentuk analisa ekonomi dunia tidak akan sesekali lengkap tanpa pemahaman yang jelas terhadap hubungan politik ekonomi minyak antara kuasa-kuasa besar dunia, pergelutan dan ‘survival’ ekonomi pengeluar minyak utama dunia, peranan syarikat-syarikat pengeluar minyak gergasi serta keupayaan mereka mempengaruhi dasar luar kebanyakan negara di pentas antarabangsa. Analisis lanskap ekonomi dunia yang tempang bakal menatijahkan polisi dan dasar yang tempang pula. Sesetengah pelajar ekonomi hari ini begitu pantas mengecam pihak tertentu disebabkan kenaikan harga minyak di pasaran, (kerajaan tempatan, misalnya) tanpa memahami lojik dan dinamika hubungan antarabangsa yang sebenarnya jauh lebih kompleks daripada perubahan harga minyak yang dipamerkan pada pam minyak di stesen-stesen minyak tempatan.

Wujud banyak cara untuk kita cuba mendapatkan kefahaman mengenai sesuatu subjek atau disiplin dalam skop yang menyeluruh. Pada hemat saya, kaedah terbaik adalah dengan pengkajian sejarah. Kerana dengan menelusuri akar dan asal usul sesuatu subjek kajian, kita mampu – secara tidak langsung – memahami evolusi dan dinamika perubahan keseluruhan subjek tersebut, sejak ianya mula wujud, sehinggalah keadaannya seperti masa kini. Kerana inilah, inisiatif untuk mengkaji dan mempersembahkan dapatan kajian mengenai sejarah minyak saya dan teman-teman dari Syntax mulakan, agar – kalaupun tidak mampu memberikan gambaran yang benar-benar lengkap dan tepat – setidak-tidaknya mampu memberikan sedikit petunjuk kepada teman-teman tentang bagaimana menyantuni persoalan-persoalan penting dan besar di atas. Bermula minggu ini, siri ‘Sejarah Politik Ekonomi Minyak’ bakal diterbitkan di laman Syntax (inisiatif BECS Council IIUM) untuk membahaskan dan berkongsi dapatan kajian sejarah politik ekonomi minyak. Ayuh kita mulakan pengembaraan sejarah kita ini, dengan memahami tiga tema besar yang bakal menjadi ‘pasak’ perbahasan siri sejarah Politik Ekonomi Minyak kita yang akan datang;

Tiga Tema Besar Sejarah Minyak Dunia

Dalam bahagian ‘prologue’ The Prize, Daniel Yergin mengetengahkan tiga tema utama yang dapat kita perhatikan sepanjang perkembangan sejarah industri minyak dunia. Siri susulan kepada siri pendahuluan sejarah politik ekonomi minyak ini nantinya akan berpasak kepada ketiga-tiga tema besar ini, dan kita akan lihat bagaimana disebalik fenomena-fenomena sejarah yang seakan-akan tidak terkait antara satu sama lain tersimpan manifestasi kepada tema-tema tersebut.

3.png

Pertama, kebangkitan dan perkembangan kapitalisma dan perniagaan ‘moden’. Industri dan perniagaan minyak merupakan antara perniagaan terbesar dunia, dan antara industri gergasi yang paling agung yang mucul pada pernghujung abad ke-19. Standard Oil (kita akan telusuri sejarah jatuh bangun syarikat konglomerat gergasi ini nanti) yang merupakan syarikat pengeluar minyak pertama yang memonopoli hampir keseluruhan jual beli minyak pada satu masa di Amerika Syarikat, merupakan antara syarikat multinasional abad ke-20 pertama dan terbesar pada zamannya di dunia. Kita pun tahu bagaimana dunia kita hari ini dibentuk oleh pengaruh dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh syarikat multinasional yang sesetengahnya mempunyai saiz aset melangkaui keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK/GDP) negara-negara membangun dan miskin bukan? Industri minyaklah pelopor awal kepada pembentukan syarikat-syarikat semacam ini! Pertumbuhan syarikat seperti Standard Oil menatijahkan penemuan-penemuan baru dan evolusi dalam bidang perniagaan, strategi korporat, hubungan antara syarikat dan kerajaan, sehingga membentuk lanskap perniagaan dan perdagangan antarabangsa yang kita kenali hari ini. Minyak merupakan sumber penjana kekayaan yang cukup besar, kepada individu-individu tertentu, syarikat-syarikat pengeluar minyak dan kerajaan. Bak kata seorang taikun minyak terkemuka, Robert O. Anderson, “Minyak ini, ibarat duit!”.

Kedua, minyak merupakan komoditi (barangan yang dijual di pasaran) yang dipengaruhi dan mempengaruhi strategi politik nasional banyak negara, politik global, dan perebutan kuasa sesama mereka. Pentas Perang Dunia 1 menjadi saksi bahawa petroleum harus diiktiraf sebagai salah satu elemen yang membentuk kekuasaan nasional sesebuah kerajaan, tatkala kenderaan peperangan menggunakan enjin pembakaran dalaman (internal combustion engine) – yang beroperasi menggunakan petroleum – menggantikan lokomotif berenjin wap yang beroperasi menggunakan arang batu. Petroleum juga memainkan peranan yang kritikal dalam menentukan nasib dan strategi negara-negara yang menyertai Perang Dunia Kedua, kedua-dua di Timur dan Barat dunia ketika itu. Di Timur, tentera Jepun (yang tekad ingin menawan telaga minyak di kawasan Borneo dan Asia Tenggara, khususnya Sumatera disebabkan kekurangan bekalan minyak yang teruk), mengambil keputusan untuk melaksanakan serang hendap terhadap Pearl Harbor (pangkalan tentera Amerika Syarikat ketika itu) bagi memastikan kempen peperangan Jepun ke Selatan (menawan Indo-China, Tanah Melayu, Singapura dan telaga minyak di Borneo dan Sumatera) berjaya. Amerika Syarikat bertindak membalas serangan Jepun, dengan terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua, yang akhirnya meranapkan Hiroshima dan Nagasaki dengan gugusan bom atom. Di Barat, Hitler yang bercita-cita menakluk Soviet Union dan mewujudkan empayar Reichnya yang agung itu, gagal setelah berjaya meluaskan kempennya sejauh Mesir dan hampir menakluk Moscow, disebabkan kekurangan bekalan minyak yang berpunca daripada kegagalan menawan telaga minyak di Baku, daerah yang dikawal Soviet. Ketiadaan bekalan minyak bererti keseluruhan angkatan tentera (yang mana, pada Perang Dunia Kedua sangat bergantung kepada trak, kereta kebal dan kapal perang untuk menjamin mobilasi ketenteraan) jatuh lumpuh dan tersadai! Kesemua episod peperangan di atas, berpunca daripada usaha menawan bekalan minyak, suatu gambaran betapa besarnya peranan dan kepentingan minyak dalam peperangan. Perang Dunia ke-2 menginsafkan ramai ahli politik dunia bahawa, minyak bukan sahaja merupakan ‘darah’ kepada perniagaan dan kapitalisma, akan tetapi terbukti merupakan ‘darah’ juga kepada peperangan dan sistem pertahanan nasional. Tanpanya, ekonomi domestic sesebuah negara dan pertahanannya bakal lumpuh, dan negara tersebut lebih terdedah kepada ancaman politik dan ketenteraan antarabangsa.

Perang Dingin, konflik-konflik antarabangsa seperti Krisis Suez 1956, krisis politik di Timur Tengah, kebanyakannya terkait (dari satu sudut atau lainnya) dengan minyak. Drama dekolonisasi yang muncul pada tahun-tahun Perang Dingin berlaku, kebanyakannya berputar sekitar pertarungan untuk mengawal bekalan minyak antara syarikat multinasional minyak dan semangat nasionalisme yang muncul dalam negara-negara pasca kolonial. Kini setelah tamatnya Perang Dingin, pergelutan ekonomi seringkali menjadi punca tercetusnya konflik antarabangsa – menggantikan pertarungan ideologi antara kapitalisma dan komunisma yang menjadi ciri utama Perang Dingin. Dan pergelutan-pergelutan ekonomi ini pula, seringkali berkait rapat dengan usaha untuk menakluk industri dan bekalan minyak antarabangsa.

4.png

Tema yang ketiga dan terakhir; sejarah minyak menunjukkan bagaimana masharakat ‘moden’ hari ini semakin lama semakin menjadi “masharakat hydrokarbon”, dan sepertimana yang diusulkan oleh sesetengah ahli antropology, kita kini telah menjadi “manusia hydrokarbon”! Pada dekad petama kemunculannya, perniagaan minyak berkisar sekitar jual beli minyak tanah (kerosene) yang amat diperlukan sebagai sumber cahaya yang stabil menggantikan minyak daripada lemak haiwan yang sebelumnya digunakan sebagai sumber pencahayaan. Perlombongan minyak mentah dahulunya tidak bertujuan untuk mendapatkan petroleum, akan tetapi, minyak mentah yang dikeluarkan daripada perut bumi diproses untuk menghasilkan ‘kerosene’/minyak tanah. Pada tahap ini pun, manusia di Amerika Syarikat (tempat kelahiran industri minyak dunia) sudah tergila-gilakan minyak tanah, disebabkan kemampuannya memberikan ‘cahaya baru’ terhadap dunia industri Amerika Syarikat. Kemunculan minyak tanah bererti operasi kilang-kilang dan industri-industri di Amerika mampu dilanjutkan ke waktu lewat malam, yang mana sebelumnya adalah mustahil disebabkan ketiadaan sumber cahaya yang stabil. John D. Rockefeller, pengasas Standard Oil menjadi kaya-raya disebabkan penjualan ‘sumber cahaya baru’ inilah! Kerosene dijual di serata dunia, khususnya di negara-negara industri di Eropah Barat dan dalam pasaran domestik Amerika. Petroleum, pada ketika itu cumalah produk sampingan pemprosesan minyak mentah yang dibuang di sungai-sungai ataupun dijual dengan harga serendah 20 sen segelen, disebabkan ketiadaan pasaran.

Hanya tatkala sistem bekalan arus elektrik ulang-alik (alternating current) dicipta oleh Nikola Tesla, diiringi dengan penciptaan mentol oleh Thomas Alva Edison, barulah kerosene hilang tempatnya selaku ‘sumber cahaya baru’ masharakat Amerika Syarikat dan Eropah. Penciptaan sistem bekalan arus ulang-alik dan mentol bererti cahaya lampu mampu dibekalkan ke rumah-rumah tanpa perlu bergantung kepada minyak tanah lagi. Industri minyak tidak terus mati disebabkan hilangnya peranan minyak tanah, akan tetapi, ibarat kemunculan langit terang disebalik mendung hujan, petroleum (yang dahulunya dianggap tiada nilai dan dibuang di sungai-sungai) menggantikan tempat kerosene selaku produk utama minyak, dengan penciptaan enjin empat lejang (four-stroke engine) dan pengeluaran motokar mengunakan enjin pembakaran dalaman oleh Henry Ford secara besar-besaran awal abad ke 1900an.

Sejak saat ini, minyak (dilengkapi dengan gas asli), merampas takhta sumber tenaga utama dunia industri daripada arang batu (yang telah digunakan sejak sekian lama) sekaligus merobah dengan bagitu radikal lanskap kehidupan kontemporari dan ‘moden’ kita hari ini. Manusia hari ini begitu bergantung kepada minyak, dan minyak merupakan antara elemen paling penting kehidupan kita, dan kita sudah begitu terbiasa dengan kewujudan minyak sehinggakan kita gagal menghargai dan merenung peranannya yang menular masuk dalam seluruh ceruk kehidupan kita. Minyaklah yang menggerakkan industri-industri kita, sekaligus membenarkan kita menikmati gaya hidup kita seperti hari ini. Minyak mengisi enjin-enjin kenderaan yang kita gunakan saban hari, dan menjadi ‘darah’ kepada kehidupan di mana-mana bandar di dunia. Sebuah dunia tanpa kewujudan minyak, pada sebahagian antara kita, adalah sesuatu yang tak terbayangkan, diluar batasan imaginasi kita.

Minyak, pada awal-awal kemunculannya, dianggap sebagai simbol kemajuan manusia, dan simbol sebuah peradaban baru global, sebuah orde baru dunia. Namun naratif ini kian hari kian dicabar, disebabkan kesan buruk dan dahsyat penggunaan minyak tak terkawal kepada kedua-dua alam sekitar dan kebergantungan manusia kepada minyak yang dilihat sebagai sesuatu yang cenderung membawa kecelakaan. Pembakaran produk hydrokarbon seperti minyak, arang batu, gas asli, membawa terlalu banyak kesan buruk kepada alam, sehinggakan dua tahun kebelakangan ini dicatat sebagai tahun ‘terpanas’ sepanjang sejarah manusia. Makin banyak gerakan ‘environmentalist’ dan gerakan ekologi yang ditubuhkan untuk – kalaupun tidak mampu mengehadkan penggunaan minyak ke tahap yang lebih ‘sustainable’ – mencabar naratif kehidupan masharakat moden yang terlalu dahagakan minyak tanpa menghiraukan kesannya kepada alam sekitar ini.

5.png

Namun, sehingga kini, tiada tanda-tanda “manusia hydrokarbon” benar-benar mahu melepaskan ‘kegilaan’ yang merasuk jiwanya. Seruan-seruan agar isu-isu alam sekitar diberi perhatian seringkali disantuni secara sambal lewa oleh pemimpin-pemimpin dunia. Walaupun sekian banyak cabaran dilontarkan kepada naratif kehidupan berasaskan produk hydrokarbon, “manusia hydrokarbon” masih enggan melepaskan keselesaan hidup berasaskan pembakaran produk minyak hitam likat ini. Ketiga-tiga tema besar inilah, yang bakal mendasari rihlah memahami sejarah pembentukan industri minyak dunia kita, selama lebih kurang sepuluh siri akan datang.

Sudah tiba masanya, pelajar ekonomi KENMS memahami dan menyelami sejarah industri terbesar dunia ini dan merenung persoalan-persoalan penting seputar kewujudannya, dan ‘kegilaan’ serta ‘kehausan’ manusia hydrokarbon’ terhadapnya. Renungan-renungan ini adalah amat penting, kerana masa depan dunia, bakal dicorak dengan jawapan-jawapan kita terhadap persoalan-persoalan yang amat menekan ini. Jumpa lagi pada siri yang akan datang! InshaAllah.

RUJUKAN

Yergin, D. (1991) The Prize, The Epic Quest for Oil, Money and Power, New York. Simon & Schuster Building, Rockefeller Center. pp. 13 – 15

Betts, A., Eagleton-Pierce, M., Roemer-Mahler, A. (2006, May) Editorial Introduction; The International Politics of Oil, Vol. 2, No. 1. 3 – 9.

 Editorial Dept. (2009, October 22) The Oil Industry and Its Effects on Global Politics. Retrieved 25th March 2017 from http://oilprice.com/Energy/Oil-Prices/The-Oil-Industry-And-Its-Effect-On-Global-Politics.html

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: