Peranan Anak Muda, Krisis Alam Sekitar Domestik dan Global

Oleh: Adam Kamal (IIUM Eco Club)

Abstrak

Pasca-Revolusi Perindustrian telah menyaksikan sebuah perubahan yang besar dalam tingkah alam sekitar serta penghuninya. Perindustrian yang pesat telah menyebabkan manusia ‘ditempatkan’ di dalam gelanggang persaingan yang besar, dan masing-masing berlumba-lumba untuk menjuarai persaingan tersebut, sehinggakan hampir sebahagian besar daripada mereka terlepas pandang bahawa dunia ini lebih indah daripada gelanggang tinju kapitalis. Perindustrian yang pesat ini juga telah membawa dunia menyaksikan degredasi alam sekitar yang sangat ekstrim seperti perubahan iklim dan pemanasan global, sehingga satu-satunya planet yang boleh didiami hidupan ini mengalami krisis alam sekitar yang semakin parah dari tahun ke tahun. Walaubagaimanapun, masa depan masih punya harapan. Anak-anak muda serta golongan belia, jika dididik dengan acuan yang betul, mampu memperbaiki keadaan melalui proses pendidikan, penglibatan dengan alam, serta bertindak untuk melakukan perubahan.

Pendahuluan

Manusia dan alam merupakan dua entiti yang wujud seantara atau wujud dalam keadaan saling memerlukan antara satu sama lain. Sebelum Revolusi Perindustrian berlaku, manusia tersangatlah menghargai serta menjaga hubungan baik dengan alam. Mereka hidup sama seperti kita; cukup makan, cukup pakai, berkeluarga dan sebagainya. Mereka bercucuk tanam tanpa mencemarkan tanah serta saliran air semulajadi. Mereka mengembara dengan berpandukan angin dan bintan-bintang. Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah, biarpun tanpa kewujudan teknologi, mereka masih mampu untuk hidup dengan makmur (prosper). Namun apa yang berlaku pada pasca-Revolusi Perindustrian hari ini tersangatlah berbeza. Prosperity atau kemakmuran seringkali diukur secara material, baik dari hal-hal mikro seperti kemakmuran individu (sbg contoh: nilai pendapatan) sehinggalah hal-hal makro seperti kemakmuran sesebuah negara (GDP, dsb). Hal ini menyebabkan hampir semua orang berlumba-lumba untuk mengejar ‘kemakmuran’ tersebut, sehingga terlupa peranan mereka terhadap alam. Manusia-manusia moden, walaubagaimanapun, masih lagi berinteraksi dengan alam. Namun, mereka memandang alam sebagai salah satu daripada ‘sumber ekonomi’ yang perlu dieksploit sebanyak mungkin bagi memaksimumkan ‘kemakmuran’. Ini yang disebut oleh Sayyed Hossein Nasr, yang mana manusia-manusia moden memandang alam sebagai pelacur. Mereka menikmati manfaat-manfaatnya, tanpa memberi semula apa yang berhak diterimanya. Cuma bezanya di sini, pelacur sebenar yang selalu dipandang jijik, tetapi di dalam krisis alam sekitar yang berlaku di zaman moden ini, mereka yang mencabul alam yang seharusnya dipandang jijik. Ini kerana, sumber alam dieksploit dengan sangat tamak, sehingga menimbulkan krisis yang lebih besar seperti peperangan dan sebagainya. Lihat saja apa yang berlaku di negara-negara pengeluar minyak.

Walaubagaimanapun, kita tidak menolak bahawa permodenan yang pesat telah lama mengambil alih dunia, dan ianya agak mustahil untuk kita berpatah balik dan memansuhkan teknologi. Cara yang terbaik ialah untuk menggunakan segala daya yang ada untuk mengurangkan impak negatif terhadap satu-satunya planet yang boleh dihuni ini. Golongan belia berperanan besar dalam menjayakan misi memerangi krisis alam sekitar. Dunia hari ini di’tadbir’ oleh sebuah sistem yang menjadikan manusia dilatih untuk menjadi sebahagian daripada industri. Manusia dilatih sebegini seawal mereka pandai bertatih, dari pendidikan zaman tadika hinggalah mereka menamatkan pengajian tinggi di Menara gading. Semua ini tidak lain disusun oleh sistem tersebut untuk menempah tempat di dalam industri.

Mungkin bukan perindustrian yang harus dipersalahkan atas krisis alam sekitar yang berlaku. Yang harus dipersalahkan di sini ialah sifat tamak haloba manusia yang dibutakan oleh hasil perindustrian yang menjanjikan keuntungan. Memetik kata-kata seorang saintis Jerman bernama Gus Speth;

“The top environmental problems are greed, selfishness, and apathy. And we scientists can never change that”

Maka adillah untuk disimpulkan bahawa kerosakkan alam sekitar yang berlaku akibat sifat tamak dan pentingkan diri sendiri kerana dibutakan oleh keuntungan material. Bagi mengatasi masalah ini, ia perlu kepada affirmative action bagi ‘mencuci’ semula masalah-masalah yang telah diakibatkan oleh pengamal-pengamal industry terdahulu. Tindakan afirmatif yang dimaksudkan adalah seperti amalan kitar semula, penggunaan teknologi yang lebih hijau dan bersih, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, setakat hari ini masih belum terdapat sebarang teknologi alternatif yang tidak menyebabkan sebarang collateral damage.

Bagaimana golongan belia dapat membantu dalam menangani krisis alam sekitar ini? Seperti yang telah disebutkan di dalam beberapa perenggan di atas, krisis yang berlaku akibat daripada sifat ignorant manusia terhadap impak segala tindakan terhadap alam sekitar. Sifat inilah yang harus disingkirkan. Namun ianya bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dengan sekelip mata, bahkan ianya merupakan satu proses yang memerlukan usahasama dari pelbagai pihak. Kesedaran tentang kepentingan menjaga hubungan dengan alam sekitar harus dipupuk sedari kecil lagi. Seawal usia kanak-kanak lagi, mereka harus dipertunjukkan bahawa alam bukanlah objek tetapi sebahagian daripada unsur metafizik yang wujud bersama-sama dengan kita. Sebagai contoh, kanak-kanak boleh diajar untuk menunjukkan sifat kasih sayang terhadap haiwan seperti kucing, hasil daripada didikan yang mengajar mereka untuk berbuat baik terhadap makhluk lain. Sifat compassionate ini juga boleh dididik supaya kanak-kanak berbuat baik terhadap alam.

Pendidikan

Perindustrian yang berlaku sejak berabad lalu telah menyebabkan kebanyakan masyarakat moden hidup di dalam zon selesa. Secara dasarnya, prinsip demand creates its supply telah menyebabkan manusia semakin hilang pertimbangan terhadap kesejahteraaan alam sekitar. Kebanyakan ‘produk-produk’ permodenan telah mengakibatkan alam sekitar menjadi semakin ampuh. Lihat saja barangan-barangan yang kita gunakan setiap hari. Agak mustahil bagi kita untuk jalani hari-hari kita tanpa menggunakan barangan yang diperbuat daripada plastik, atau tin aluminium, yang mana proses bagi menghasilkan setiap dari bahan-bahan tersebut akan merosakkan alam. Namun disebabkan sudah berabad manusia hidup di dalam keselesaan ini, krisis alam sekitar yang berlaku seperti tidak berpenghujung.

Walaubagaimanapun, golongan belia terutamanya mahasiswa, harus sedar bahawa mereka berperanan untuk mencapai solusi bagi masalah ini. Golongan belia harus mencari cara untuk menggunakan tiga ‘resources’ ini; kapasiti pemikiran yang masih cerdas, sedikit kemewahan masa, serta keluasan akses kepada pengetahuan, untuk menyediakan alternatif cara hidup yang lebih baik bagi menggantikan cara hidup yang sedia ada. Pelopornya sudah ada. Perbanyakkan bacaan serta tontonan yang bermanfaat bagi menggalakkan lagi kesedaran, serta memperluaskan lagi pengetahuan terhadap punca kepada krisis alam sekitar. Ini sangat membantu bagi memastikan fasa pertama kepada perubahan untuk berlaku.

Keterlibatan dengan Alam

Pengetahuan dan kesedaran semata-semata tidak mencukupi. Golongan belia perlu menjadi lebih proaktif dalam mencari solusi kepada krisis alam sekitar yang berlaku pada hari ini. Keterlibatan atau engagement dengan alam sekitar perlu diperkuatkan. Seperti yang telah disebutkan di dalam beberapa perenggan di atas, di antara sebab mengapa krisis alam sekitar sebelum Revolusi Perindustrian tidak begitu ketara kerana manusia pada masa itu begitu menjaga hubungan baik dengan alam.

Malangnya, perkara itu tidak terjadi pada hari ini, akibat modernisasi yang pesat. Namun, ruang-ruang bagi pemupukan semula hubungan ini masih boleh dibuka. Golongan belia perlu menjadi lebih aktif dalam menyertai aktiviti-aktiviti seperti mendaki gunung, dan pelbagai aktiviti yang boleh menghubungkan kita terus dengan alam semuajadi.

Bertindak untuk Melakukan Perubahan

Belia yang luas pengetahuan serta kesedarannya sudah dikira bersedia untuk mengambil langkah terakhir dalam menangani krisis alam sekitar. Tindakan yang utama ialah untuk memulakan perubahan dengan diri sendiri dengan menggunakan semua pengetahuan yang ada.

Seterusnya, antara tindakan-tindakan yang boleh dibuat adalah seperti berkongsi dapatan-dapatan serta pengetahuan yang ada dengan ahli keluarga, sahabat handai, atau media sosial. Perkongsian ilmu dan idea ini mampu menggalakkan ramai lagi untuk melakukan perubahan. Oleh itu, golongan belia harus merancakkan lagi diskusi-diskusi ilmiah yang bertemakan kesejahteraan alam sekitar, serta mengajak orang lain untuk mengulangi tiga langkah yang disebutkan tadi.

Kesimpulan

Dengan keupayaan yang sedikit lebih berbanding peringkat-peringkat umur yang lain, golongan belia harus menyedari peranan serta kemampuan mereka dalam menangani krisis alam sekitar yang berlaku. Di antara cabaran yang  perlu dihadapi ialah arus pemodenan yang pesat serta mencari titik keseimbangan di antara pembangunan dan kesejahteraan alam. Tiga langkah disebutkan di atas merupakan mekanisme yang boleh digunakan dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut. Impak daripada satu orang belia yang komited untuk menangani masalah ini, mampu untuk mencetuskan kesedaran kepada pelbagai peringkat umur yang lain termasuk kanak-kanak kecil dan golongan veteran. Bayangkan impaknya jika 1.8 billion orang pemuda komited dengan perkara yang sama. Maka, banyakkan bacaan, kuatkan hubungan dengan alam, dan terus bertindak. InsyaAllah, impian untuk melihat manusia hidup dengan harmoni dengan alam sekitar dapat direalisasikan. Wallahua’alam.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: